Memulakan langkah sebagai pelakon kanak-kanak bukan jaminan seseorang itu akan terus mendapat kepercayaan apabila meningkat dewasa. Itulah perjalanan yang dilalui pelakon Sweet Qismina selepas hampir dua dekad membina nama dan membuktikan kemampuannya dalam industri seni tanah air.

Artikel Berkaitan: ‘Tahun 2025 Adalah Tahun Paling Manis Buat Saya’ – Sweet Qismina

Artikel Berkaitan: ‘Harga Saya Masih Sama, Tak Ada Yang Berubah’ – Sweet Qismina

Bermula sebagai pelakon kanak-kanak

Sweet atau nama sebenarnya Farhanna Qismina Supandi memulakan kerjaya lakonan sejak berusia tujuh tahun pada 2004. Namanya kemudian dikenali menerusi beberapa naskhah popular termasuk Hikayat Putera Shazlan dan Waktu Rehat.

Namun, perjalanan panjang membesar di hadapan kamera tidak bermakna bakatnya terus diterima dan diyakini oleh semua pihak.

Ketika ditanya sama ada pernah berasa penat kerana orang ramai masih belum melihat kemampuan sebenarnya, Sweet mengakui setiap karya yang dilakukan sentiasa hadir bersama harapan untuk mencipta satu kejayaan besar.

Dalam industri ini, kita perlu sentiasa berkarya, sentiasa berseni dan sentiasa mencari jalan untuk memperbaiki diri.

Jadi, sudah tentu setiap tahun, setiap drama dan setiap filem yang saya lakukan dalam industri, saya mesti mengharapkan karya itu ‘pecah’.

Saya mahu orang nampak usaha kita, nampak kita ada bakat dan ada ‘gem’ dalam diri.

Akui sukar meraih kepercayaan penonton

Menurut Sweet, cabaran terbesar buat seseorang pelakon bukan sekadar mendapatkan watak, tetapi meraih kepercayaan penonton terhadap kebolehannya.

Sangat sukar nak dapatkan kepercayaan orang sebab daripada 10 orang, mungkin baru dua orang yang kita boleh ambil hati.

Apatah lagi kalau kita mahu memenangi hati 10,000 atau 10 juta orang yang menonton.

Kemenangan Diiktiraf Hingga Peringkat ASEAN

Segala usaha dan penantian itu akhirnya terbalas apabila Sweet dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) menerusi lakonannya sebagai Maya dalam filem Babah pada 1 November 2025. Kemenangan itu menjadi antara pencapaian terbesar Sweet selepas hampir dua dekad bergiat dalam bidang lakonan.

Lakonannya dalam filem berkenaan membolehkan Sweet dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-34 pada November 2025, sekali gus menjadi antara pencapaian terbesar sepanjang kerjayanya.

Belum sempat kemanisan kemenangan di Festival Filem Malaysia reda, Sweet sekali lagi mengharumkan nama negara apabila membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada ASEAN International Film Festival & Awards 2025 atau AIFFA 2025.

Bagi aktres berusia 29 tahun itu, trofi berprestij berkenaan bukan sekadar sebuah kemenangan, sebaliknya menjadi tanda bahawa hasil kerjanya selama ini akhirnya dihargai.

Bila menang anugerah, orang kata ia perkara yang sangat menggembirakan diri saya sebab saya rasa akhirnya kita dapat nampak orang menghargai karya saya.

Pesanan Buat Diri Sendiri 10 Tahun Lalu

Di sebalik deretan trofi dan pengiktirafan yang diraih, Sweet turut menitipkan kata-kata penuh emosi kepada dirinya sendiri yang pernah melalui pelbagai cabaran sejak kecil.

Ketika ditanya mengenai pesanan yang mahu disampaikan kepada dirinya 10 tahun lalu, Sweet berkata dia mahu berterima kasih kepada versi dirinya yang tidak pernah berhenti bertahan.

Good job sebab sentiasa kuat untuk mengharungi segala cabaran hidup. Jangan risau sebab saya percaya apa yang awak buat, semuanya akan nampak hasilnya pada masa akan datang.

Just keep moving on and I’m so proud of you sebab awak kuat sampai sekarang.

Kata-kata itu seakan merangkum keseluruhan perjalanan Sweet. Daripada seorang pelakon kanak-kanak yang membesar di hadapan kamera, dia terus bertahan meskipun terpaksa menunggu bertahun-tahun sebelum kemampuan sebenarnya dilihat.

Kini, kemenangan di pentas FFM, AIFFA dan ABPBH bukan sekadar menjadi bukti bakatnya, tetapi juga hadiah buat Sweet ketika kecil yang tidak pernah berhenti percaya segala usaha dan pengorbanannya suatu hari nanti akan membuahkan hasil.