Selepas kejayaan lagu berjudul L.O.V.E yang menjadi runut bunyi (OST) bagi drama bersiri popular, Melur Untuk Firdaus lakonan Meerqeen and Anna Jobling sebelum ini, penyanyi, Syabil Zulkufli, 22, kini tampil dengan single terbaharu, Dunia Kita.
Artikel Berkaitan: Dah Macam Suami Isteri, Peminat Suka Tengok Gandingan Anna Jobling & Meerqeen Dalam Drama
Artikel Berkaitan: ‘Melur Untuk Firdaus’ Bikin Anna Jobling Paling Dicari Dalam Google 2022
Lagu untuk crush
Menurut pemilik nama lengkap Muhammad Syabil Iman Zulkufli itu, dia menyifatkan lagu tersebut membawa pembaharuan berbanding lagu sebelum ini.
Bukan itu sahaja, Syabil berkata dia turut menjanjikan irama dan melodi yang menarik untuk para pendengar.
Kali ini, saya amat teruja untuk lagu Dunia Kita kerana saya dan pihak pengurusan ingin ketengahkan perkara baru menerusi lagu ini, muziknya boleh dikatakan ‘catchy’ dan sesuai dengan trend muzik semasa.
Bercakap tentang penceritaan Dunia Kita, Syabil menjelaskan lagu berkenaan adalah tentang kisah menyimpan rasa suka terhadap seseorang.
Jelasnya lagi, lagu yang dihasilkan bersama dua rakannya iaitu Dani dan Nando itu, diambil dari kisah yang pernah dialami oleh kenalannya sendiri.
Saya wakilkan kepada mereka yang menyukai seseorang atau memiliki ‘crush’, mereka boleh mengekspresikan perasaan apabila mendengar lagu Dunia Kita.
Lagu ini saya buat bersama kawan saya iaitu Dani dan Nando. Saya bersyukur kerana mereka telah memberikan kerjasama yang baik dan proses menyiapkan juga berjalan dengan lancar dan rakaman siap sepenuhnya dalam masa tiga hari.
Sebenarnya, salah seorang rakan saya ada yang lalui situasi seperti itu, menyimpan rasa suka terhadap seseorang. Jadi, saya dan dia hasilkan lirik, seterusnya rakan kami seorang lagi hasilkan kord.
Selepas lagu ini dihasilkan, saya tidak sangka pula ia sedap didengar di telinga kami. Justeru, kami mahu kongsikannya kepada mereka yang sedang ada perasaan terhadap seseorang.
Setelah berusaha sebaik mungkin sepanjang proses menyiapkan lagu Dunia Kita, Syabil tentunya berharap agar taruhan karya terbarunya itu mendapat sambutan positif daripada para pendengar.
Semoga lagu ciptaan kami bertiga ini diterima baik oleh orang ramai. Anda semua boleh mendengarkannya di platform digital kegemaran masing-masing. Saya juga berharap agar lagu Dunia Kita ini turut hangat dan trending di media sosial.
Lagu Dunia Kita kini boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.