Penyanyi Syafeek Ikhwan memberitahu dia ingin membawa diri ke luar negara seketika bagi mencari ketenangan dan merawat hati yang terluka.
Artikel Berkaitan: Syafeek Ikhwan Tak Suka Orang Ungkit Soal Duit & Gelar Dirinya Bodoh – ‘Semua Orang Ada ‘Trigger Points’ Masing-Masing’
Artikel Berkaitan: ‘Pernah Alami Masalah Anxiety Sehingga Jumpa Psikiatri’ – Syafeek Ikhwan Mohon Masyarakat Bersifat Terbuka Mengenai Isu Kesihatan Mental
Artikel Berkaitan: Tamat Kontrak Dengan Syarikat Rakaman, Syafeek Ikhwan Mahu Berevolusi Dalam Karya & Kreatif Corak Perjalanan Karier Seni
Saya perlukan ketenangan
Menerusi temu bual bersama OhBulan!, Syafeek berkata, kekecewaan yang dilaluinya sejak zaman percintaan sehingga sekarang masih belum dirawat sepenuhnya. Menurut Syafeek, sepanjang tahun ini dia sudah menempuhi pelbagai episod duka namun, memilih untuk tidak berkongsi kepada umum.
Sebenarnya saya dah penat. Bohong kalau saya kata tiada masalah sepanjang tahun ini. Soal peribadi dan kerjaya antara yang selalu bermain di fikiran saya. Kalau cakap pasal perhubungan, saya cuba untuk melupakan kisam silam. Ada saat, saya masih memberanikan diri mengenali seseorang. Namun, usaha untuk meneruskan perhubungan itu tidak berjaya dek kerana terdapat beberapa masalah yang tidak boleh saya ceritakan.
Berhubung kerjaya pula, saya masih berharap nama saya lebih dikenali ramai dan menerima banyak undangan untuk menyanyi.
Ujar Syafeek, tahun ini dia banyak menghabiskan masa, wang dan tenaganya untuk melakukan yang terbaik. Namun, rezeki masih belum berpihak kepadanya. Ujar pemenang ‘Lagu Cinta Kita Musim Ketiga’ ini lagi, oleh sebab itu dia mahu membawa diri seketika ke luar negara bagi menenangkan fikiran serta merancang semula perjalanan karier seninya.
Kali ini saya mahu pergi ke Milan bersama beberapa orang sahabat baik saya. Tujuan utama saya ke sana untuk mencari ketenangan dan merancang semula perjalanan karier seni. Saya harap tahun 2025 akan membawa rezeki kepada saya. Saya ada perancangan nak bawa keluar banyak lagu baharu untuk tahun hadapan. Cuma, saya perlu masa untuk berfikir dan mengatur strategi.
Disoal mengapa memilih untuk terbang ke luar negara bagi tujuan menenangkan diri, Syafeek secara ringkas menjawab dia mempunyai banyak momen manis di luar negara.
Bagi yang mengenali saya, pasti mereka tahu saya pernah melanjutkan pengajian di luar negara iaitu di Perancis selama empat tahun. Saya suka dan tenang melihat pemandangan di negara orang. Dari situ juga saya dapat inspirasi. Tambahan, ia satu pengalaman yang manis apabila saya dan rakan-rakan yang lain dapat berkumpul menjelang tahun baharu nanti.
Syafeek yang ditemui di Ikea Damansara pada hari Selasa yang lalu, turut memberitahu kepada OhBulan! dia masih aktif mempromosikan lagu ‘Penunggu’ yang digubah olehnya dan Saifulazim, manakala lirik ditulis sepenuhnya oleh dirinya sendiri.
Saya masih aktif mempromosikan lagu Penunggu. Alhamdulillah setakat ini komen yang diterima sangat baik. Saya harap lebih ramai orang yang akan mendengar lagu itu.