Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun ditemui mati didakwa telah ditikam serta lehernya dikelar seorang lelaki yang tidak dikenali. Kejadian tersebut dikatakan berlaku di salah sebuah tadika di Rusia.
Namun apa yang lebih mengejutkan apabila suspek menjerit ‘Syaitan yang suruh aku buat’ sebelum menyerang mangsa.
Dikelar semasa tidur
Menerusi laporan Daily Mail, suspek yang dikenali sebagai Denis Pozdeev telah menceroboh masuk bangunan tersebut yang terletak di Naryan Mar, Rusia.
Sebelum kejadian, pengawal yang bertugas di tadika ‘Szaka’ langsung tidak menghalang tindakan suspek yang menyusup masuk ke dalam bilik semasa kanak-kanak disitu sedang tidur tengahari.
Suspek kemudian bertindak ganas dengan menyerang salah seorang kanak-kanak yang sedang tidur di atas katil dengan mengelar leher mangsa menggunakan pisau sambil menjerit ‘Syaitan yang suruh aku buat’.
‘Ada suara di dalam kepala saya’
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di pangkuan gurunya beberapa minit selepas berlakunya insiden ngeri itu. Mangsa yang dikenali sebagai Kirill Sevenkov merupakan pelajar tahun akhir di tadika tersebut sebelum dia melangkah ke alam persekolahan pada tahun hadapan.
Bapa mangsa, Konstantin berkata pihak tadika ada menghubungi isterinya, Yelena untuk memaklumkan tentang kejadian yang menimpa anak mereka itu.
Pengawal keselamatan akhirnya berjaya menangkap suspek sebelum diserahkan kepada pihak polis. Hasil daripada soal siasat, suspek menyatakan bahawa ‘Ada suara di dalam kepala saya’ yang mendorongnya melakukan perbuatan kejam itu.
Suspek bawah pengaruh dadah
Dia menyangkakan bahawa yang sedang tidur tersebut merupakan seekor binatang. Menurut pihak polis, suspek dikatakan berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian itu.
Pihak polis yang bertindak menggeledah rumah suspek menjumpai sekeping kertas yang tertulis waktu operasi serta jumlah kanak-kanak yang berada di tadika tersebut.
Sumber: Daily Mail