Pasangan penyanyi, Syamel dan Ernie Zakri bakal tampil menerusi konsert eksklusif sempena sambutan malam tahun baru yang bakal berlangsung pada 31 Disember 2025.

Artikel Berkaitan: Syamel Jadikan Kegagalan ‘Belakang Tabir’ Sebagai Penguat Untuk Terus Berkarya – ‘Kecewa & Hampa Tapi Syukur Lagu Itu Kini Dikenali Ramai’

Artikel Berkaitan: Syamel Terbuka Khawla Jadi Artis, Pendidikan Tetap Keutamaan – ‘Nampak Dia Minat Semua Itu Tapi Saya Taknak Paksa’

Lagu hit dan klasik

Dengan kerjasama bersama Le Méridien Petaling Jaya, Universal Music Malaysia membawakan ‘Nostalgia’ iaitu sebuah pengalaman makan malam berserta persembahan selama tiga jam menerusi rangkaian lagu-lagu hit dan klasik.

Sementara itu, pemilik nama Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, berkata, ‘Nostalgia’ bukan sekadar makan malam, malah menjanjikan persembahan penuh eksklusif.

Saya amat menantikan peluang untuk bersama peminat dalam suasana yang begitu eksklusif dan peribadi.

‘Nostalgia’ ini bukan sekadar konsert, ia adalah malam yang membolehkan saya berkongsi kenangan, emosi dan suara hati saya secara langsung kepada semua tetamu yang hadir.

Persembahan pada acara ini diharap dapat meninggalkan momen yang akan dikenang sampai bila-bila.

Semoga yang hadir dapat merasai apa yang saya rasakan dan membawa pulang memori indah.

Manakala, Syamel, 32, atau nama sebenar Syameel Aqmal Mohd Fodzly meluahkan rasa tidak sabar untuk memberikan persembahan hebat pada malam ‘Nostalgia’ itu.

Sebagai seorang penghibur, tiada yang lebih bermakna daripada mengakhiri tahun dengan mereka yang menghargai muzik saya.

‘Nostalgia’ adalah pentas untuk saya merakamkan rasa syukur, dan saya janji akan berikan yang terbaik malam itu.

Lebih istimewa, DJ Fuzz turut menyertai konsert itu bagi menghidupkan suasana menjelang detik 12 malam dengan set muzik yang penuh bertenaga untuk menyambut kehadiran tahun baharu 2026.

Konsert Eksklusif Tahun Baharu ini dianjurkan oleh Hotel Le Meridien Petaling Jaya dan bakal berlangsung di Grand Ballroom hotel itu.