“Allah itu wujud dan al-Quran itu benar. Apa yang berlaku di dunia pada ketika ini adalah dinyatakan di dalam al-Quran” itulah pengakuan seorang wanita warga Thailand, Pheemthana Shinawat apabila terbuka hati untuk memeluk agama Islam selepas mempelajari dan mengkaji kitab suci seperti al-Quran, Bible dan Anguttara Nikaya.
Membuat perbandingan
Menurut Pheemthana Shinawat yang kini menetap di Malaysia, dia telah membuat perbandingan secara menyeluruh mengenai isi kandungan yang terdapat di dalam semua kitab agama tersebut sebelum menemui kebenaran yang dicari selama ini. Tambahnya, dia memilih agama Islam bukan kerana sebab-sebab tertentu sebaliknya atas dasar kepercayaan dan ketaqwaan pada Allah SWT selain masih mencari jalan untuk menjadi seorang Muslim yang sejati.
Saya masih mencari cara sebenar untuk menjadi Muslim dengan mempelajari agama Islam yang memberi ketenangan sebenar kepada jiwa saya. Agama tidak bergantung pada nama tetapi siapa diri kamu. Apapun, saya syukur menemui kebenaran.
Di samping itu, Pheemthana turut berkongsi pengetahuannya mengenai ajaran dan tuntutan dalam agama Islam. Malah, dia turut berjanji akan terus istiqamah di jalan Allah sehingga hujung nyawa.
Terima kasih
Selepas memeluk Islam, Pheemthana meluahkan rasa syukur apabila kehadirannya sebagai seorang Muslim diterima oleh ramai pihak. Bahkan, ada yang memberikan hadiah seperti Al-Quran dan buku-buku keagamaan kepadanya sebagai tanda ‘menyambut’ saudara Islam yang baru.
Setakat ini, perkongsian wanita tersebut telah mendapat lebih daripada 6000 kali tontonan dan 4000 tanda suka serta ratusan komen daripada netizen.
Sumber: Pheemthana Shinawat