Pendidikan seksual sering dianggap sebagai satu topik yang tabu dalam masyarakat kita. Bila sebut saja tentang ‘pendidikan seks’, mesti ramai yang melenting, betul tak?
Hakikatnya, pendidikan seksual ni penting untuk memberi kesedaran kepada individu tentang hak peribadi mereka.
Malah, agama Islam turut memberi penekanan terhadap pendidikan seksual sekaligus menjadi kewajipan untuk kita pelajari dan cakna.
Apakah sebenarnya pendidikan seks yang diajar oleh Islam?
Untuk pengetahuan korang, pendidikan seksual ni bukanlah sekadar tentang hubungan intim, tapi lebih kepada pemahaman tentang sentuhan selamat, peranan tubuh badan, dan hak individu.
Menurut Dr Abdullah Nasih Ulwan selaku ulama besar yang berasal dari Syria, pendidikan seks harus diajar kepada anak-anak dengan jelas dan terperinci apabila anak-anak telah berakal.
Beliau mendefinisikan pendidikan seks sebagai mengajar, menjelaskan dan memberi peringatan kepada remaja tentang isu yang berkaitan dengan seks, naluri, nafsu (syahwat) dan hubungannya dalam perkahwinan sehingga mereka memahami apa yang ditegah dan menjadikan sikap serta tingkah laku Islam sebagai praktik dalam kehidupan seharian.
Dalam masa yang sama, Islam menekankan kepentingan menjaga batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan selepas baligh.
Ini termasuk memisahkan tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan bagi menjaga maruah dan kesucian diri.
Namun begitu, pendekatan terhadap pendidikan seksual berbeza mengikut perspektif Islam dan pandangan barat.
Islam menekankan konsep keadilan (ta’addud) dan toleransi (tasamuh), yang menekankan keseimbangan dan tanggungjawab dalam kehidupan seharian.
Kepentingan pendidikan seks kepada kanak-kanak?
Sebab utamanya adalah untuk mereka memahami apa itu sentuhan selamat.
Menerusi kepekaan kanak-kanak terhadap sentuhan selamat, mereka boleh mengambil tindakan dengan mengelak, melaporkan kepada ibu bapa atau guru sekiranya mereka berada dalam situasi yang tidak selamat.
Selain itu, mereka juga perlu tahu tentang anatomi tubuh badan sendiri agar tidak mudah terlibat dalam perlakuan melibatkan seks bebas, hamil luar nikah atau jangkitan penyakit kelamin.
Pendidikan seksual yang betul juga boleh membantu kanak-kanak elak daripada menjadi mangsa kekerasan seksual atau eksploitasi seperti rogol dan pemerdagangan orang.
Paling penting, pendidikan ini memberi mereka kuasa untuk mempertahankan tubuh badan sendiri, termasuk dalam menolak perkahwinan kanak-kanak dan membuat keputusan tentang kesihatan serta perancangan keluarga di masa hadapan.
Bagaimana nak ajarkan pendidikan seks kepada kanak-kanak dengan betul?
Menurut Wan Nur Syakira selaku penulis buku mengenai pengenalan kepada seksualiti kepada kanak-kanak,
Terdapat empat tahap yang sesuai untuk ajarkan pendidikan seks kepada kanak-kanak bermula pada usia 2 tahun.
Pada usia ini, anak diajar tentang batasan tubuh, terutama bahagian yang tidak boleh disentuh orang lain.
Ketika anak berumur 7 hingga 10 tahun, mereka diajar tentang perbezaan jantina dan adab dalam berinteraksi dengan jantina yang berlawanan.
Pada peringkat remaja (11-14 tahun), ibu bapa disarankan untuk berbicara tentang perubahan fizikal akibat akil baligh, termasuk tanggungjawab menjaga maruah diri.
Seterusnya, pada usia 15 hingga 18 tahun, pendidikan lebih mendalam tentang hubungan suami isteri serta kepentingan menjaga kehormatan diri dalam hubungan perkahwinan.
Media sosial dan akses internet juga disebut sebagai cabaran utama dalam mendidik anak-anak mengenai seksualiti.
Oleh itu, ibu bapa perlu bijak memantau anak-anak untuk memastikan mereka mendapatkan maklumat yang tepat.
Apakah kesan jika kurang pendedahan kepada pendidikan seks?
Kurangnya kesedaran mengenai kepentingan pendidikan seks boleh membawa kepada pelbagai masalah seperti jenayah seksual, seks bebas, kehamilan tidak dirancang, serta penyakit kelamin.
Kes-kes rogol dan pencabulan yang semakin meningkat dalam kalangan remaja menunjukkan bahawa ilmu tentang pendidikan seksual sangat penting bagi melindungi diri.
Adakah Islam menentang rogol dalam perkahwinan?
Menurut SIS, Islam sangat menekankan keadilan dan hak dalam perkahwinan. Rasulullah SAW pernah bersabda:
“Allah tidak mensucikan umat di mana orang yang lemah tidak mendapat haknya tanpa teragak-agak.” (Sahih Al-Jami’: 2421)
Hadis ini membuktikan bahawa Islam sangat menentang sebarang bentuk kezaliman termasuklah rogol, sama ada dalam atau luar perkahwinan.
Pendidikan seksual bukanlah satu topik yang patut kita sembunyikan. Sebaliknya, ia perlu dibincangkan secara terbuka dan bijak agar kita dapat membina masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan cakna dengan isu-isu seksual. Ikuti lebih banyak info penting melalui Kempen Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu!
Artikel ini adalah kolaborasi bersama Sisters In Islam dan juga hasil perbincangan bersama Syarifatul Adibah Pegawai Kanan Program bagi Kempen Peduli Seks: Tabu Tapi Perlu Tahu memberikan info tentang semua perkara yang melibatkan pengetahuan seksual yang merangkumi pelbagai aspek seperti kesihatan, komuniti, hubungan dan kekeluargaan serta dasar advokasi.
Pembaca digalakkan ke microsite kami di SINI untuk maklumat lanjut.
* Sisters in Islam (SIS) ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memartabatkan hak perempuan Islam di Malaysia dalam kerangka Islam, hak asasi manusia sejagat dan jaminan di bawah Perlembagaan serta realiti dan pengalaman hidup perempuan sendiri.
SIS menyediakan khidmat nasihat undang-undang percuma kepada wanita dan lelaki mengenai hak undang-undang mereka di bawah Undang-undang Keluarga Islam dan Undang-undang Kesalahan Jenayah Syari’ah.
Ikuti mereka di Facebook, Instagram dan Twitter untuk maklumat lanjut.