berita

Tabung Anak Kena Pecah, Suami Kerja Malas, Dilema Isteri Bela ‘Biawak Hidup’

October 29th, 2019 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Setiap pasangan dikurniakan teman hidup yang berbeza perangai dan sifat. Ada suami terlalu rajin mencari rezeki buat keluarga sehinggakan isteri tidak dibenarkan bekerja. Manakala, ada pula suami terlalu pemalas sehinggakan semua perkara diserahkan kepada isteri untuk melakukannya.

Menerusi Facebook Mohd Fadli Salleh, lelaki ini berkongsi sebuah cerita mengenai seorang wanita yang terpaksa menahan sabar dengan sikap pemalas suaminya. Lebih menyedihkan, wanita itu terpaksa menanggung kesemua perbelanjaan harian dan hutang secara sendiri termasuk duit poket suaminya. Sedihnya!

Hanya menjadi biawak hidup

Mak, ayah curi tabung adik. Mengadu si anak pada si ibu dengan sayu. Tabung kakak pun mak, balas si kakak. Tabung abang pun sama mak, balas anak kedua. Tiga tabung anak. Tiga-tiga dalam tong sampah. Si ibu mengeluh. Bil elektrik dah merah. Surat potongan elektrik dah sampai. Tertunggak lebih RM1000. Masuk ke dapur nak jerang nasi, buka pili air. Tiada air keluar. Dah kena potong rupanya. Suaminya berjanji nak bayar, rupanya janji tinggal janji.

Bank dah telefon ansuran kereta dah 3 bulan tertunggak. Guru Kemas telefon minta bayar tunggakan yuran. Anak sulung pula bawa balik surat jamuan akhir tahun pengawas. Kena bayar lagi. Beras kat dapur dah habis. Peti ais kosong. Susu pun sama. Dan suami hanya menjadi biawak hidup di rumah. Berbulan-bulan dah tak kerja. Hampir setahun dah kalau dikira.

Kaki tangan naik ke badan


Sebelum ini pun sama. Semua pekerjaan, si isteri yang kena carikan. Tolong isi borang. Kena heret tangan suruh pergi temuduga. Elok dapat kerja, buat hal. Bergaduh dengan orang itu orang ini. Main perempuan lain pula. Isteri mana nak sabar. Maka bergaduh. Bila bergaduh, bukan setakat mulut sahaja. Kaki tangan suami naik ke badan sampai lebam satu badan. Kisah ini berulang-ulang. Berputar tanpa henti. Si ibu ini kena tanggung semuanya. Dia bukan kerja doktor. Bukan juga lawyer. Dia hanya kerani sahaja.

Gajinya bukan besar. Tapi semua benda dia kena tanggung. Semua. Termasuk duit rokok suami, duit minyak motor, duit kedai kopi. Apa benda ni? Gila. Serius aku cukup tak faham seorang lelaki boleh duduk saja harap isteri bagi duit. Bila tak dapat curi pula tabung anak. Ah, gila. Aku kalau terdesak usahkan curi, minta duit isteri pun tidak walau aku tahu isteri aku ada duit. Malu. Itu maruah lelaki. Maruah suami.

Aku rela pinjam dengan kawan-kawan. Bila gaji masuk terus bayar. Usah nak minta duit isteri, nak pinjam pun tak sanggup. Tak ada rasa bersalah langsung tak kerja nak isteri yang bertungkus lumus. Tak ada rasa berdosa ke biarkan isteri pikul segala tanggungjawab bayar itu ini? Tak ada sekelumit rasa malu ke isteri yang biayai dan tanggung keluarga. Dan lebih memalukan, tabung anak sendiri pun sanggup dipecahkan. Sampai pernah si anak berkata pada ibu, Mak. Kalau ayah tak pulang lagi baik kan? Mak tak pernah ajar anak-anak bencikan ayah. Tapi?

Susahkan isteri dan anak-anak


Akak ini datang dari jauh semata-mata nak bertemu aku. Untuk sekampit beras dan barang basah supaya dapur itu berasap kembali. Dia tertekan sangat. Suaminya langsung tidak peduli bil air dipotong dan bil api sampai surat merah. Tak pernah suami dia fikirkan yuran tadika anak, jauh sekali nak fikirkan pasal bayaran jamuan pengawas. Semua atas pundak dia. Semua sekali. Pernah surat saman Coway sampai di rumah. Dia tak mampu bayar dan dia sangat berharap dia dipenjarakan. 

Biar lega. Biar terlerai semua masalah yang dia tanggung. Sampai tahap itu dia terfikir. Namun bila memandang mata anak-anak, jiwanya kembali melembut. Dia masih ibu. Dan bagaimana anak-anak ini akan survive jika dia ke dalam? Nak harapkan suami? Tak adanya. Entahlah. Aku dah tak tahu nak cakap bagaimana lagi. Kes suami pemalas begini sangat banyak aku terima. Kalau dia malas hanya menyusahkan diri sendiri tak apa juga. Ni habis susahkan isteri dan anak-anak, menjadi beban yang amat. 

Aku tidak menggalakkan penceraian. Namun kadang-kadang melepaskan itu lebih membahagiakan. Bertahan dengan harapan pasangan berubah kadang-kadang hanya angan-angan yang tak mungkin kesampaian. Kadang-kadang, itu jalan terbaik. Tidak terpakai untuk semua orang. Bukan juga aku tuju buat akak ini. Tapi secara umumnya, begitulah.

Sumber: Mohd Fadli Salleh

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Content Champion at Rev Asia Berhad
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×