Foto: The Asian Parent
Raya tahun 2022 ni mesti ramai yang bersemangat nak balik kampung kan? Dua tahun lepas kita semua tak dapat balik beraya sebab pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi tahun ini tidak lagi! Jadi kita semua boleh balik kampung dan meraikan hari raya bersama keluarga dan insan tersayang. Bukan tu je, kita pun dah boleh berkumpul beramai-ramai tau tapi SOP mesti kena jaga juga ya.
Walaupun Hari Raya Aidilfitri diraikan oleh orang Islam di Malaysia, namun kemeriahannya turut dirasai oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Malah mereka turut sama-sama meraikannya dan teruja menikmati hidangan Hari Raya seperti lemang dan rendang.
Korang tahu tak sebenarnya Malaysia pernah sambut Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali bersama?
Gong Xi Raya/Kongsi Raya
Foto: Astro Awani
Sambutan Kongsi Raya atau Gong Xi Raya ini merupakan gabungan nama bagi dua perayaan iaitu Gong Xi Fa Cai (Tahun Baru Cina) dan Hari Raya Aidilfitri. Peristiwa Kongsi Raya juga dianggap seperti kita semua berkongsi sambutan perayaan walaupun berbeza agama, adat dan budaya. Namun perkongsian yang dimaksudkan hanyalah kerana tarikh perayaan utama berdekatan antara satu sama lain tanpa melibatkan isu kepercayaan dan akidah.
Untuk pengetahuan korang, Kongsi Raya ini hanya berlaku setiap 33 tahun dan tempohnya selama 3 tahun sahaja. Malaysia pernah menyambut Kongsi Raya pada tahun 1963 hingga 1965 dan tahun 1996 hingga 1998. Untuk generasi baru, korang akan merasai pengalaman Kongsi Raya ini pada tahun 2029 hingga 2031 kelak.
DeepaRaya
Foto: Astro Awani
DeepaRaya pula adalah gabungan nama perayaan Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri. Malaysia pernah menyambut DeepaRaya sekitar tahun 2004 hingga 2006 yang lalu. Berdasarkan kalendar tahun 2004, Deepavali disambut pada 11 November manakala Hari Raya Aidilfitri pula pada 14 November. Bagi tahun 2005, jarak tarikh Deepavali dan Hari Raya Aidilfitri hanyalah selang dua hari sahaja iaitu pada 1 November dan 3 November. Sementara DeepaRaya juga turut disambut pada tahun 2006 (Deepavali 21 Oktober, Hari Raya Aidilfitri 24 Oktober).
Walau bagaimanapun, penggunaan nama ‘DeepaRaya’ kemudian dikritik oleh para mufit Perak yang melabelkan sebagai ‘haram’ dan Jabatan Mufti Perak memaklumkan umat Islam dilarang sama sekali mencampur adukkan perayaan orang Islam dengan perayaan bagi orang-orang kafir dalam apa juga bentuk sekalipun.
Namun perkongsian perayaan ini cuma untuk memeriahkan hari istimewa kedua-dua bangsa yang semestinya mempunyai pegangan agama dan kepercayaan masing-masing. Atau dalam erti kata lain, hanya pada nama sahaja. So chill lah!