berita

‘Tajuk Asal Filem Vik2ria Secret Sebenarnya Bra Merah’ – Penerbit

June 15th, 2023 | by Shahrin
Kini Trending

Penerbit filem Vik2ria Secret, Richaed Ung mendedahkan bahawa tajuk asal naskhah berkenaan sebenarnya adalah ‘Bra Merah’.

Artikel Berkaitan: AR Badul Nafi Nikahi Annie Arifin – ‘Umur Saya Dah 73 Tahun, Takkan Tidak Sedar Diri Lagi’

‘Bra Merah’

Ketika ditemui Oh Bulan!, Richard berkata idea untuk menggunakan tajuk Bra Merah diperoleh daripada salah seorang rakan baiknya.

Namun, selepas tajuk tersebut diutarakan kepada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), ia terpaksa ditukar selepas dilihat kurang sesuai dengan penerimaan penonton selain kedengaran kurang sopan.

Untuk pengetahun semua, tajuk asal filem ini adalah Bra Merah. Idea asal daripada kawan baik saya, salah seorang mantan pengerusi FINAS.

Pada suatu hari saya dan dia duduk bersembang kemudian kami tercetus untuk buat filem ini. Tajuk itu diberikan oleh dia.

Bagaimanapun, pihak saya telah menerima nasihat daripad FINAS mengatakan tajuk tersebut agak bahaya. Selepas itu, mengambil masa yang agak lama untuk fikirkan tajuk yang baru.

Jadi dapatlah Vik2ria Secret yang lebih santai dan sesuai gantikan dengan Bra Merah.

Richard berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Vik2ria Secret yang diadakan di TGV KLCC, pada Selasa.

Dalam pada itu, Richard turut mendedahkan filem tersebut pada awalnya untuk disiarkan di platform Over The Top (OTT), namun diubah ke tayangan pawagam disebabkan beberapa kekangan termasuk kos.

Saya pada awalnya ingin menayangkan filem ini di platform OTT di bawah naungan saya, My Wayang. Namun sayang sekali, kos untuk menguruskan OTT sangat besar dan saya sedang berusaha untuk selesaikannya.

Sebab itu ada perkataan yang agak kasar seperti ‘sial’ digunakan dalam filem sebab plan asal untuk OTT.

Sebab jika letak di OTT tidak perlu melalui proses LPF (Lembaga Penapisan Filem). Tambahan lagi, disebabkan tukar dan tayang di pawagam, jadi ada beberapa babak yang dilihat mampu membantu penceritaan filem telah pun dipotong.

‘Dalam kain’

Sementara itu, pengarah yang juga pelakon Vik2ria Secret, AR Badul berkata, jalan cerita filem tersebut sememangnya ke arah mengenai kisah peribadi seorang wanita atau erti kata lain ‘dalam kain’.

Bagaimanapun, dia akur apabila beberapa babak yang sedikit ‘daring’ (berani) terpaksa diubah mengikut kesesuaian penonton tempatan.

Memang filem ini asalnya ingin ke arah benda-benda yang rahsia wanita, dalam erti kata lain ‘dalam kain’. Namun terpaksa diubah pada beberapa babak dan selitkan mesej sebenar yang ingin disampaikan kepada penonton.

Cerita yang ingin dibentuk memang hebat, namun sebagai orang islam ada perkara yang tidak boleh. Memang ingin cerita benda-benda yang panas, tapi macam ke arah Hollywood sangat.

Maka, kami lembutkan sikit supaya tidak dikecam oleh penonton. Nak berniaga, berniaga juga tapi kena jaga semua itu.

Ketika disoal adakah dengan mengarahkan filem yang mengisahkan tentang cerita ‘dalam kain’ merupakan teknik pemasaran untuk menarik minat penonton, Badul berkata dia tiada jawapan kepada pertanyaan tersebut.

Saya tiada jawapan kepada soalan itu, kerana saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya kemahuan penonton.

Ada kalanya ada penonton yang suka tengok cerita dalam kain juga. Apa-apa pun tahu Malaysia ada hadnya. Sekiranya boleh menyentuh hati mereka untuk menonton, silakan tengok.

Vik2ria Secret menghimpunkan barisan pelakon tanah air seperti, Ropie, AR Badul, Annie Arifin, Man Raja Lawak, Fiza Halim dan ramai lagi.

Filem yang mendapat bantuan Geran DKD Finas sebanyak RM550,000 itu bakal menerjah pawagam seluruh Malaysia bermula 15 Jun 2023.

SKIP THIS AD ×