Gara-gara enggan membayar kos membaiki kerosakan kereta milik rakan lelakinya, seorang lelaki tergamak memukul dan menoreh muka mangsa di padang bola jaring, di Ampang Jaya.
Tumbuk dan toreh muka
Menerusi laporan Harian Metro, tindakan suspek lelaki berusia 24 tahun itu mengundang padah apabila dia ditahan di Semenyih, hari ini. Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kejadian itu berlaku pada 10 Ogos lalu apabila suspek mahu bertemu lelaki tersebut bagi membincangkan masalah kereta. Apabila tiba di lokasi, mangsa dan suspek telah berbincang secara baik. Namun, suspek mengatakan tidak boleh membayar ganti rugi itu dan mengajak bergaduh.
Secara tiba-tiba suspek terus cuba menumbuk dan menoreh muka mangsa dengan menggunakan pisau kecil.
Berikutan daripada itu, sepasukan polis telah membuat serbuan di Semenyih dan menahan suspek. Tambah Mohamad Farouk, suspek menyatakan pisau lipat yang digunakan ketika kejadian dibuang di sekitar kawasan tempat kejadian ketika melarikan diri.
Semakan juga mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah. Ujian awal saringan air kencing mandapati suspek disyaki positif dadah jenis THC.
Jelas Farouk lagi, punca kejadian adalah disebabkan selisih faham dan meninggi suara antara mangsa dan suspek serta suspek enggan membayar kos baiki kereta.
Suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi permohonan reman. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro