Pendakwah terkenal Dato’ Ustaz Kazim Elias ada memuat naik sekeping foto di Facebook menunjukkan keadaan wajahnya yang mempunyai kesan seakan lebam dipercayai disebabkan penyakit misteri yang dihidapinya.
Artikel Berkaitan: Ustaz Kazim Elias Kongsi Foto Tangan Terbakar & Mohon ‘Bantuan’ Orang Ramai, Netizen Syak Angkara Sihir?
‘Saya rasa rendah diri sangat-sangat’
Menerusi perkongsian tersebut, Ustaz Kazim mendedahkan keadaan kesihatannya sekarang. Menurut Ustaz Kazim, selama lapan bulan ini, dia sudah berusaha mendapatkan rawatan moden dan tradisional bagi merawat penyakit ‘misterinya’ itu.
Ini keadaan muka saya sekarang dan selama ini saya sembunyikan melalui tampalan apabila muncul dikhalayak. Bukan hanya di muka malah seluruh badan. Ianya boleh terjadi luka dengan sendiri sehingga mengeluarkan darah tanpa semena-mena. Saya tak boleh siarkan keadaan yang lain kerana saya malu, saya rasa rendah diri sangat-sangat.
‘Sakit, gatal, gelisah, pedih’
Jelas Ustaz Kazim lagi, tujuannya memuat naik gambar lengannya yang disolek dengan efek khas itu adalah sebagai kiasan tentang keadaan kesihatannya. Dia juga mengakui amat memerlukan pertolongan daripada mana-mana pihak yang dapat membantu merawat penyakit misterinya itu.
Sakit, gatal, gelisah, pedih dan pelbagai perasaan saya selama ini tak boleh lagi saya sorok. Saya tidak boleh tidur seharian sejak berbulan yang lepas. Saya bimbang dengan keadaan saya ini akan menghilangkan saya dari dunia dakwah saya.
Walaupun sakit tetapi tetap saya terima semua jemputan ceramah dan program. Kadang-kadang saya masuk dan keluar dari tempat ceramah dengan tergesa-gesa kerana tak dapat menahan kepedihan dan kesakitan yang ditanggung. Walau kadang-kadang dilabel sombong kerana tak beramah mesra dengan pendengar seperti dulu tapi tetap saya tabahkan hati sebab saya tau orang ramai tidak tahu keadaan sebenar saya.
Dalam kesempatan itu, Ustaz Kazim meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua individu yang menawarkan bantuan dan nasihat kesihatan kepadanya. Pendakwah terkenal ini juga memohon maaf kepada semua sekiranya ada tingkah laku atau perkataannya yang mengguriskan hati sesetengah pihak.
Sumber: Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias