Pelakon jelita, Natasha Hudson menyuarakan keinginan untuk mempunyai cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama suami kelimanya, Muhammad Harits Jasmin.
Serah kepada Allah
Memasuki usia 41 tahun, Natasha berkata dia dan suami tidak terlalu terdesak untuk dikurniakan anak meskipun mempunyai keinginan.
Menurut Natasha, mereka hanya berserah kepada Allah jika dikurniakan rezeki suatu hari nanti.
Ujarnya lagi, dia dan suami pernah berbincang untuk memiliki zuriat bersama, namun memilih untuk menstabilkan kewangan dan ekonomi mereka terlebih dahulu.
Selepas setahun mendirikan rumah tangga, sudah tentu kami inginkan cahaya mata. Kami pun pernah berbincang tentang zuriat.
Saya selalu usik suami untuk memiliki anak, namun kami kena stabilkan dahulu keluarga, punca rezeki dan anak-anak saya hasil perkahwinan terdahulu.
Ketika ditemu bual bersama OhBulan!, Natasha turut memberitahu dia tidak boleh menunggu terlalu lama disebabkan faktor usia.
Kalau mahu miliki zuriat pun, InsyaAllah untuk tahun seterusnya. Tapi saya pun tidak boleh tunggu lama sebab faktor usia.
Disoal mengenai perasaan suami, Natasha berkata suaminya itu tidak kisah jika perkahwinan mereka tidak dihadirkan dengan cahaya mata memandangkan sudah pun memiliki tiga orang anak tiri.
Suami kata dia tidak kisah. Kalau tidak ada, pun tak mengapa. Tapi kalau ada dia okay. Sebab bila saya cakap nak (anak), sudah tentu dia suka.
Bagi suami, kehadiran tiga orang anak ‘ekspres’ (tiri) sudah cukup menggembirakan hatinya. Dia sangat senang dengan kehadiran anak-anak saya. Tapi saya tahu dia inginkan anak sendiri juga.
Ditemui di majlis pertunjukan fesyen Rizman Ruzaini Fall Winter 2023 dan Raya 2023 di Hotel St. Regis, pelakon filem ‘Langgar’ ini mengakui dia sedang dalam fasa bahagia dan tenang dengan perkahwinan kali ini.