berita

Tak Jemput Anak Di Rumah Rakan, Wanita Ditemui Mati Dalam Timbunan Pakaian

January 1st, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang wanita warganegara Indonesia, Santi disahkan meninggal dunia selepas mayatnya ditemui di bawah timbunan pakaian di rumah sewanya di Kulim.

Terhidu bau busuk

Menerusi laporan Berita Harian, kejadian itu disedari oleh rakan mangsa yang dikenali dengan nama Ahmad Rafie apabila dia terhidu satu bau busuk yang datangnya dari dalam rumah terbabit ketika dia berada di rumah berkenaan untuk mengambil dokumen pengenalan diri dua anak wanita yang berumur 8 dan 10 tahun itu.

Menurut Ahmad, sebelum kejadian iaitu pada hari Ahad lalu (29 Disember 2019), suami mangsa ada menghantar kedua-dua anak mereka ke rumahnya tetapi pasangan itu dikatakan langsung tidak memunculkan diri menjemput anak mereka walaupun hari sudah menjelang malam.

Saya ke rumah mangsa jam 11 malam, namun rumahnya gelap manakala panggilan telefon tidak dijawab.

Tambah Ahmad lagi, pada keesokan harinya dia bertindak pergi ke rumah mangsa untuk mengambil pakaian kedua-dua anak mereka itu tetapi lain pula yang jadinya apabila dia mendapati pintu rumah berkenaan tidak berkunci dan terhidu satu bau busuk yang datangnya dari rumah tersebut.

Mayat bawah timbunan pakaian

Dia kemudian telah menghubungi pihak polis untuk memaklumkan mengenai pasangan tersebut yang masih belum menjemput anak mereka yang tidak dapat dihubungi walaupun sudah beberapa kali dia cuba menelefon mereka.

Susulan itu Sinar Harian turut melaporkan, Ahmad berkata, pihak polis kemudian memintanya untuk pergi ke rumah pasangan ini untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri anak-anak mangsa. Sebaik sahaja dia berada di bilik tengah rumah berkenaan, bau busuk tersebut dikatakan semakn kuat dan dia ternampak beberapa kesan tompokan darah di timbunan pakaian di bilik berkenaan.

Bila pergi dekat, baharu kami nampak macam ada tangan di sebalik timbunan kain dan tilam. Terkejut sebab nampak mayat Santi seperti sudah banyak hari meninggal dunia.

Kami terus beritahu polis kejadian ini.

Tiada sebarang kecederaan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusuf Shaari berkata, mangsa dipercayai telah meninggal dunia dalam tempoh 72 jam yang lalu dan mayat mangsa kemudian telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan kita giat mengesan waris mangsa untuk membantu siasatan.

Tambahnya lagi, hasil siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa, selain tiada senjata ditemui.

Sumber: Berita Harian, Sinar Harian

SKIP THIS AD ×