Program popular Korea Selatan, Running Man menerusi jelajah Run2U, telah menemui peminat Malaysia dalam satu acara yang berlangsung pada 15 Februari di Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC).
Artikel Berkaitan: Setelah Tujuh Tahun Menunggu, Barisan Artis Running Man Sekali Lagi Kembali Ke Malaysia Bertemu Peminat
5,000 penonton hadir
Run2U yang dianjurkan oleh Sunstrong Entertainment telah menyajikan acara yang cukup meriah malah berjaya menarik kehadiran seramai 5,000 peminat.
Tak dinafikan, acara tersebut mendapat sambutan hangat daripada penonton yang hadir malah mereka turut teruja menyaksikan persembahan hebat daripada bintang Running Man sendiri iaitu Song Ji Hyo, Kim Jong Kook, Yoo Jae Suk, Yang Se Chan, Ha Ha, dan Ji Suk Jin.
Kesemua bintang terkenal itu telah menghangatkan suasana dengan gelagat lucu serta keakraban mereka. Tingkah laku ‘gila-gila’ mereka yang dipamerkan di hadapan peminat sama seperti yang dilihat di kaca televisyen.
Bukan sahaja menghiburkan penonton dengan lawak spontan, tetapi mereka turut mempamerkan bakat masing-masing dengan menyanyi dan berinteraksi secara ‘live’ bersama peminat.
Antara lagu yang dibawakan mereka adalah APT nyanyian Rose Blackpink & Bruno Mars, Loveable oleh Jong Kook, I Like It nyanyian Ha Ha dan banyak lagi!
Main game bersama peminat
Lebih istimewa, mereka juga mengadakan ‘game’ bersama peminat yang terpilih di atas pentas sambil ditonton oleh lebih daripada 5,000 peminat. Peluang yang diberikan itu pasti menjadi kenangan indah buat mereka yang bertuah.
Keenam-enam ahli Running Man meluahkan rasa terharu dan bangga dengan sambutan hangat yang ditunjukkan oleh peminat di Malaysia.
Mereka juga turut berjanji akan berusaha untuk menyajikan hiburan yang terbaik sebagai penghargaan kepada semua peminat yang telah menyokong mereka selama ini.