Penyanyi, Shila Amzah menafikan dakwaan kononnya hanya dia seorang diri yang bekerja keras menampung kehidupan suami, Ubai MZ dan anak-anak.

Artikel Berkaitan: Shila Amzah Muat Naik Foto Bersama Individu Dipercayai Bakal Bapa Tiri?

Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Papa Nombor Satu’ – Shila Amzah Kongsi Keakraban Ubai MZ & Seth Uwais

Isu tanggung keluarga

Shila atau nama sebenar Nurshahila Amir Hamzah, 35, menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan menegaskan jika fitnah itu benar, hidupnya tidak akan sebahagia dan harmoni seperti sekarang.

Bagi saya, mereka yang berkata begitu sebenarnya langsung tiada asas. Kalau betul dakwaan itu (tanggung keluarga) benar, sudah pasti saya tak akan rasa sebahagia sekarang.

Tak perlu cakap banyak, lihat sahaja perubahan saya dari segi emosi dan penampilan sejak 2023. Sangat ketara, lebih ceria dan tenang. Biarlah gambar saya di media sosial yang menjawab semuanya.

Shila berkata demikian ketika ditemui di konsert minggu kelima Raise The Star Malaysia, yang berlangsung di Shah Alam, pada Ahad.

Mengulas mengenai hantaran dibuat suaminya megenai tuduhan seorang indivdiu, pelantun lagu Patah Seribu itu menyifatkan tindakan Ubai sebagai tanda kasih sayang dan perlindungan terhadap keluarga kecil mereka.

Dia sangat melindungi dan bertanggungjawab terhadap saya serta perkahwinan kami. Kalau boleh, dia memang tak mahu perkara-perkara negatif melibatkan keluarga, lebih-lebih lagi bila anak-anak pun dah membesar.

Walaupun beza usia kami lapan tahun, dia sangat matang dan saya tak pernah perlu minta apa-apa. Dia tahu tanggungjawabnya.

Ubai bertanggungjawab

Ibu kepada dua cahaya mata itu juga meluahkan rasa syukur dikurniakan suami yang meletakkan keluarga sebagai keutamaan.

Dia sangat terlibat dalam membesarkan anak-anak. Saya tak pernah seminit pun rasa kosong atau rasa sunyi dalam mendidik anak-anak.

Siapalah isteri tanpa suami yang sedia merendahkan egonya demi mengangkat langkah pasangannya. Dan itulah suami saya.

Sebelum ini, seorang pengguna media sosial mendakwa Ubai tidak berkerja dan kononnya pempengaruh itu hanya bergantung sepenuhnya kepada Shila.

Terkesan dengan tuduhan berbaur fitnah tersebut, Ubai mencari individu terbabit untuk menuntut penjelasan berhubung fitnah dibuat.

Untuk rekod, Shila dan Ubai berkahwin pada Ogos 2023 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira pada 9 Mei tahun lalu.

Shila juga mempunyai seorang anak lelaki bernama Seth Uwais hasil perkahwinan dengan bekas suami Haris Edraki.