Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkongsi amalan Allahyarham ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang tidak pernah meninggalkan bacaan surah Yasin setiap petang sebelum waktu Maghrib.

Artikel Berkaitan: Pusara Tun Dr Siti Hasmah Tak Putus Diziarahi, Ada Datang Seawal Pagi Sebelum Ke Pejabat

Amalan baca yasin

Menurut Mukhriz, amalan tersebut terus dilakukan Allahyarham meskipun penglihatannya semakin terhad sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Saya sebenarnya gembira apabila kita dapat duduk bersama dan melafazkan surah Yasin kerana itulah amalan ibu saya.

Sebelum Maghrib, dia akan membaca Yasin dan tidak pernah meninggalkannya. Itu memang amalan kebiasaan beliau setiap hari.

Walaupun penglihatan beliau dalam tiga atau empat tahun kebelakangan ini tidak begitu baik, beliau tetap membaca kerana sudah menghafalnya.

Beliau juga mempunyai alat audio yang mengandungi bacaan al-Quran dan antara surah yang paling kerap didengarnya ialah surah Yasin. Sama ada duduk atau berbaring, beliau akan mendengar dan mengikut bacaan itu.

Mukhriz berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bacaan Tahlil dan Yasin Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, pada Khamis.

Katanya, pengalaman membaca Yasin bersama Allahyarham ketika berada di hospital turut menjadi kenangan yang cukup bermakna buat dirinya.

Saya sendiri pernah duduk bersama beliau di hospital dan membaca Yasin bersama-sama. Sebab itu apabila kita menghadiahkan pahala bacaan Yasin dan tahlil kepada bonda, saya rasa itulah yang paling beliau hargai kerana ia memang menjadi amalan hariannya.

Dalam pada itu, Mukhriz merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menganjurkan majlis tahlil dan bacaan Yasin buat Allahyarham, termasuk yang dilakukan secara dalam talian.

Majlis yang berlangsung di Masjid Saidina Umar Al-Khattab itu dihadiri kira-kira 400 orang terdiri daripada ahli keluarga, rakan terdekat dan orang ramai yang hadir mendoakan kesejahteraan roh Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 100 tahun.

Sumber: Malaysia Gazzette