Kehangatan pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) kian terasa. Lagu dan penyanyi manakah yang bakal dinobatkan sebagai juara sekaligus membawa pulang trofi AJL35? Meskipun AJL35 bakal bersiaran tanpa kehadiran penonton, kehangatan dan kelainan yang bakal ditampilkan oleh pihak produksi sudah pasti dirasai oleh peminat setia anugerah tersebut.
OHBULAN! berpeluang untuk menemubual pemenang Anugerah Vokal Terbaik AJL17 iaitu Liza Hanim mengenai anugerah berprestij tersebut.
Tekanan tetap sama
Bagi saya tekanan tetap sama sebab AJL merupakan highlight untuk industri hiburan khususnya industri muzik. Kalau macam dulu kita ada kategori seperti Balada, Irama Malaysia dan Pop Rock. Tapi sekarang dia pukul rata semua. Itu sahaja perbezaan yang ketara bagi saya. Lagi satu mungkin AJL dahulu kurang liputan dari segi media sosial. Sebab dulu penonton hanya menonton AJL di kaca televisyen. Tapi sekarang dekat Youtube dan beberapa rakan media lain pun sudah sediakan liputan.
Menurut Liza Hanim, setiap finalis yang bertanding di Anugerah Juara Lagu sudah pasti merasai tekanannya tidak kira dari zaman dahulu termasuklah sekarang. Tambahnya, AJL pada masa sekarang tidak mempunyai kategori yang khusus seperti AJL pada waktu dahulu.
Mengenai kualiti lagu kita tak boleh cakap. Masa zaman saya lagu-lagu yang masuk adalah lagu popular sama macam sekarang. Cuma, lagu sekarang ikut citarasa zaman sekarang dan masa zaman dulu citarasa lagu pun berlainan sebab 20 tahun yang lepas. Kalau ada perubahan pun mungkin disebabkan peredaran zaman dan teknologi serta alat muzik yang digunakan.
Disoal mengenai perbezaan kualiti lagu zaman dahulu dan sekarang, Liza Hanim memberitahu bahawa semua lagu yang mara ke pentas akhir sejak dahulu hingga sekarang merupakan lagu-lagu yang popular.
Tak sabar nak tengok legend
https://www.youtube.com/watch?v=4nDNDKIEJ54
Kalau tanya saya, saya sangat teruja nak tengok persembahan Dato Jamal berduet dengan Wany Hasrita. Ini sesuatu yang fresh apabila seorang lagenda berduet dengan penyanyi baharu. Saya memang pandang ke hadapan untuk melihat persembahan Dato Jamal dan battle of voices di antara mereka.
Kalau nak bagi ramalan siapa yang bakal menang itu susah sebab tak akan kena. Keputusan AJL sangat di luar jangkaan. Kadang-kadang ramal lagu ini, lagu itu pula yang menang. Kalau tanya saya, saya ‘ballad girl’ dan saya suka lagu Aku Bidadari Syurgamu. Dia punya penghayatan ada sentuhan melayu. Kalau lagu itu naik dan dinobatkan sebagai juara saya gembira. Tapi apa-apa lagu yang dinobatkan sebagai juara pun saya okay sebab semua lagu mempunyai keunikan masing-masing.
Sementara itu, kami sempat bertanya kepada Liza Hanim mengenai lagu manakah yang diramalkan olehnya untuk menjadi juara AJL35 kali ini. Jelas Liza Hanim, dia sangat meminati lagu bergenre balada. Oleh itu, dia memilih lagu Aku Bidadari Syurgamu sebagai ramalan untuk AJL kali ini. Namun begitu, dia tidak kisah sekiranya lagu lain turut dinobatkan sebagai juara kerana setiap lagu mempunyai keunikan tersendiri dan itu semua rezeki yang ditentukan oleh Allah S.W.T bukan sesiapa. Di samping itu, Liza Hanim turut berharap para penonton tidak mempertikaikan rezeki finalis yang bakal menang pada malam tersebut.
Ramalan pemenang vokal terbaik AJL35
Seperti tahun sebelum ini, nama Ernie Zakri dan Aina Abdul antara finalis yang disebut-sebut bakal merangkul anugerah vokal terbaik sempena AJL kali ini. Selain dua penyanyi tersebut, Liza Hanim meramalkan Aishah sebagai salah seorang finalis yang bakal memenangi kategori tersebut.
Kebanyakan yang masuk AJL kali ini bukan semua imej baru. Malah, ada daripada mereka sudah mempunyai pengalaman. Bagi finalis yang pertama kali masuk AJL, guna peluang yang ada ini sebaik-baiknya. Jangan takut atau sangsi sebab korang dah masuk final. Enjoy your time dan buat sahaja. Ingat, korang sahaja yang dapat peluang berada dalam sejarah AJL ketika pandemik ini.
Berbicara mengenai pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara, Liza Hanim meluahkan rasa sangat sedih dengan apa yang berlaku. Menurut Liza Hanim, AJL merupakan anugerah yang sangat meriah termasuk dari segi persiapan dan hari kemuncak anugerah tersebut. Namun siapa sangka, pandemik sebegini boleh berlaku dalam sekelip mata. Oleh itu, dia bersyukur kerana anugerah ini masih boleh diteruskan walaupun sudah beberapa kali ditangguh buat sementara waktu.
Bagi pencinta muzik, walaupun korang tak dapat menonton AJL secara live, korang perlu beri sokongan menerusi televisyen dan rakan-rakan media anugerah tersebut. Ini juga merupakan pengorbanan orang seni pula. Tanpa penonton, tenaga akan jadi sangat kurang. Jadi dia sangat berbeza sebab sebelum ini kita ambil tenaga daripada penonton. Oleh itu, kita kena sama-sama sesuaikan diri dengan keadaan ini.
Sebagai finalis yang pernah bertanding di AJL, Liza Hanim berharap semua finalis AJL35 dapat melakukan yang terbaik dan bayangkan mereka sedang ditonton oleh berjuta orang walaupun bukan di depan mata. Tambahnya, kesemua finalis perlu menjadikan AJL kali ini sebagai yang terbaik dalam sejarah walaupun negara sedang dilanda pandemik Covid-19.