Semalam satu tragedi kemalangan jalan raya meragut nyawa satu keluarga undang simpati orang ramai. Kemalangan di Kilometer 74, Jalan Ipoh – Gerik berpunca daripada kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah pikap. Dalam kejadian 10.30 malam, mangsa Nurul Huda Arifin yang sedang hamil yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta Toyota Vios meninggal dunia di tempat kejadian.
Suaminya yang juga pemandu kereta, Abdul Hakim Hashim serta seorang anak mereka di tempat duduk belakang, Adib Aidan Abdul Hakim meninggal dunia sewaktu dirawat di Hospital Kuala Kangsar.
Tak sangka itu petanda
Hari raya tahun ini arwah kelihatan begitu beriya-iya mahu bergambar sekeluarga bersama dalam sesi khas, namun tidak sangka ia petanda dia akan pergi buat selama-lamanya.
Menurut abang kepada Nurul Huda, tidak sangka adiknya pergi buat selama-lamanya selepas petanda mahu berfoto bersama. Dia turut rasa ralat kerana arwah adik bongsunya itu mengandung lima bulan, selain abang sulung mereka sebelum ini juga meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika kecil.
Mahu atau tidak terpaksa reda walaupun ralat. Perut (arwah) pun dah nampak biarpun jantina kandungannya kami masih belum tahu.
Sementara itu, menurut adik kepada Abdul Hakim, Nazirah Hashim, arwah abangnya yang juga anak sulung daripada 10 beradik disifatkan amat bertanggungjawab selain dianggap idola dalam kalangan adik-beradiknya yang lain.
‘Abang memang idola kami’
Tambahan, dia rasa terkilan kerana mengetahui arwah kakak iparnya sedang mengandungkan anak perempuan kerana mereka begitu menginginkan anak perempuan. Malah, sejak kebelakangan ini arwah abangnya selalu mengatakan bahawa akan kerap ‘pulang’ ke kampung mereka di Gerik khususnya selepas hampir tiga bulan dia dan keluarganya terkandas di kampung mentuanya di Trolak, Perak.
Kali terakhir saya bertemu arwah abang adalah kira-kira lima hari selepas hari lebaran. Sehari sebelum raya, arwah memang ada balik hari ke Gerik dari Trolak selepas perjalanan rentas daerah dibenarkan susulan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat).
Arwah sekeluarga kembali semula ke Gerik pada raya ketiga sebelum pulang ke Manjung dua hari kemudian. Emak mengakui perasan dengan perubahan abang khususnya apabila arwah sering bertanya jika ingin mengirim barang dari Manjung untuk dibawa pulang ke Gerik.Dia memang idola kami 10 beradik kerana sikapnya yang tegas selain menjadi tulang-belakang keluarga khususnya dalam membantu menampung perbelanjaan empat adik-beradik kami yang masih belajar.
Jenazah tiga beranak itu disembahyangkan di perkarangan Unit Forensik HKK sebelum dihantar pulang ke kampung Allahyarham Abdul Hakim di Kampung Air Panas, Gerik untuk dikebumikan.
Sementara itu, menurut Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, saringan ujian air kencing terhadap pemandu Toyota Hilux didapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Suspek berusia 33 tahun direman selama empat hari bermula hari ini selain semakan mendapat dia turut mempunyai 27 saman lampau selain empat saman yang belum dijelaskan atas pelbagai kesalahan trafik termasuk memandu laju.
Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber : Harian Metro