Sekadar gambar hiasan
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah ungkapan paling sesuai menggambarkan situasi yang dilalui keluarga ini selepas anak tercinta yang berusia tujuh tahun disahkan meninggal dunia dipercayai akibat didera.
Suspek pinjam tempat mandi jenazah
Foto: Detik
Memetik laporan Detik, mangsa yang dikenali dengan nama Dila dipercayai dipukul dan didera oleh dua abang sepupunya iaitu Fajar dan Galih. Menurut sumber, kematian kanak-kanak dari Indonesia hanya terbongkar selepas tindakan dua suspek yang mahu meminjam tempat mandi jenazah daripada ketua kampung yang dikenali dengan nama Suraji.
Tindakan tersebut secara tidak langsung membuatkan Suraji curiga kerana pada hari tersebut, tiada kes kematian dilaporkan di kampung berkenaan. Susulan daripada itu, Suraji bersama beberapa penduduk kampung yang lain telah berkunjung ke rumah suspek dan alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati Dila sudah terbaring dan tidak sedarkan diri. Mangsa sempat dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Apabila ditanya mengenai keadaan kanak-kanak berusia tujuh tahun itu, salah seorang suspek memaklumkan bahawa mangsa terjatuh dari tingkat dua rumah mereka. Menyedari ada sesuatu tidak kena, Suraji melaporkan kejadian itu kepada polis sebelum semuanya terbongkar. Rupa-rupanya Dila telah didera oleh kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 18 dan 24 tahun. Mereka mengakui telah memukul kanak-kanak itu sampai mati. Hasil pemeriksaan juga mendapati tubuh badan Dila dipenuhi dengan luka dan kesan lebam.
Mangsa mengadu kena pukul
Foto: Detik
Menurut guru sekolah mangsa iaitu Rusmiyati, Dila sudah seminggu tidak hadir ke sekolah kerana dimaklumkan tidak sihat. Namun pada pagi kejadian, Dila telah hadir ke sekolah dalam keadaan yang sangat menyayat hati di mana di mana kepalanya botak, kakinya mengalami kecederaan sehingga tidak boleh memakai kasut dan berjalan dengan sempurna. Dila juga mengadu telah dipukul oleh abang sepupunya menggunakan kayu.
Pipinya dan semua tangannya sudah lebam. Saya tidak berani membuka bajunya, yang buka adalah pengetua sekolah. Kaki kanan luka, sampai tak boleh pakai kasut. Katanya itu luka lama. Namun, dia tidak menjelaskan secara terperinci tentang luka itu.
Kebetulan pada hari yang sama, abang sepupu Dila (suspek) telah hadir ke sekolah untuk menjemput mangsa dan guru terbabit memanggil dan menasihati suspek supaya tidak lagi memukul mangsa.
Abang sepupunya ada di luar (sekolah) kemudian saya panggil. Saya tanya, ini kenapa? Dia jawab dipukul, kerana tidak dengar cakap.
Diasuh oleh ibu saudara sejak usia 35 hari
Foto: Detik
Siapa sangka, pada sebelah malam pula, Rusmiyati menerima berita bahawa Dila sudah meninggal dunia. Menurut sumber, ternyata Dila sudah lama diseksa seperti diikat dengan tali rafia, kepalanya dipukul dan sebagainya.
Difahamkan, bapa kandung Dila sudah meninggal dunia dan ibu kandung Dila masih hidup tetapi dia tidak mampu untuk menjaga anak perempuannya itu. Oleh hal demikian, Dila telah diasuh oleh ibu saudaranya, Kartini sejak berusia 35 hari lagi. Hasil soal siasat mendapati, Kartini telah merantau ke Jakarta sejak tiga bulan lalu. Oleh itu, Dila telah diasuh dan tinggal bersama dua abang sepupunya yang juga merupakan anak kandung Kartini.
Kedua-dua suspek telah ditahan polis. Jika sabit kesalahan, suspek utama bakal dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun manakala suspek kedua pula bakal dipenjara selama tiga tahun enam bulan.
Sumber: Detik