Umum tahu, pelakon dan pengacara popular, Elly Mazlein kini bergelar ibu kepada sepasang cahaya mata selepas melahirkan anak lelaki pada Oktober lalu di sebuah pusat perubatan swasta.
Saya tak sorok anak
Ketika ditemui OhBulan!, Elly atau lebih mesra disapa Lina Pom Pom menyatakan anak lelakinya, Haider Mateen akan memasuki usia dua bulan pada 23 Disember ini.
Menurut Lina, 41, dia tidak berniat untuk sorok tetapi akuinya dia lebih selesa memilih tidak terlalu terbuka berkongsi foto wajah anaknya termasuk puteri sulungnya, Putri Sara Sefhia Azmi.
Alhamdulillah kehidupan saya macam biasa selepas bersalin. ‘Baby’ dah memasuki usia sebulan insya-Allah 23 Disember ini dah dua bulan. Kalau ikutkan, bulan Februari tahun hadapan baru saya mula bekerja tetapi dah rezeki saya terima untuk menggantikan posisi Jihan Muse.
Saya tak sorok anak pun sebenarnya. Untuk ‘baby’ ini kami ada eksklusif dan akan dikongsikan menerusi program MeleTOP. Macam Sofea sebelum ini pun saya jarang tunjuk, sama juga dengan anak kedua ini.
Masing-masing ada cara tersendiri, begitu juga dengan saya. Saya rasa bahagia dengan cara sebegini.
Elly ditemui ketika selesai konsert minggu kelima Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya baru-baru ini.
Langsung tak janggal
Sementara itu, pemilik nama Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi kagum dengan cara suaminya, Mohamad Azlan Che Nur menguruskan anak sulung mereka.
Kata pelakon drama Kampung People dan Kampung People 2, suaminya langsung tidak kekok menjaga ‘baby’ malah kasih sayang terhadap Sefhia langsung tidak berkurangan.
Suami saya kan cikgu, jadi dia memang sayangkan budak-budak. Tak nampak pun dia kekok dalam menjaga Haider. Cara dia jaga Haider macam sebelum ini pernah ada anak.
Dia langsung tak nampak janggal, berjaga malam, tolong bancuh susu.. kalau saya penat sangat dia akan uruskan segalanya.
Bila Haider muncul dalam kehidupan kami langsung tak nampak dia kurangkan kasih sayang terhadap Sefhia. Sama rata dia bagi. Dia jaga Sefhia dengan penuh kasih sayang.
Alhamdulillah, saya dikurniakan suami sebaik ini dan harap kekal sampai bila-bila.
Terdahulu, Elly dan Mohamad Azlan, 31, mendirikan rumah tangga pada 18 Januari tahun lalu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL).
Menerusi perkahwinan pertamanya, Elly dikurniakan cahaya mata perempuan, Putri Sara Sefhia yang kini berusia lima tahun.