berita

Tak Tahu Password Telefon, 2 Beradik Terpaksa Tinggal Dengan Mayat Ibu Selama Seminggu

October 1st, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Di Texas, Amerika Syarikat, dua orang adik-beradik lelaki berusia lima dan tujuh tahun terpaksa tinggal bersama mayat ibu mereka hampir seminggu hanya kerana gagal mendapatkan bantuan orang ramai.

Tak tahu kata laluan telefon ibu

Menerusi laporan yang dipetik daripada Daily Mail, mangsa yang dikenali dengan nama Connie Talyor telah meninggal dunia di rumahnya yang terletak di Talty, Texas. Menurut sumber, wanita berusia 71 tahun ini baru sahaja membawa pulang kedua-dua anak angkatnya itu ke rumahnya pada bulan lalu. Tetapi sayangnya, dia sudah pergi buat selama-lamanya sebelum sempat meluangkan masa bersama anak-anak tersayang.

Difahamkan, selepas kejadian, mereka berdua tidak menghadirkan diri ke sekolah selama seminggu dan disebabkan itu guru sekolah meminta pihak berkuasa melakukan pemeriksaan kebajikan di rumah tersebut. Menceritakan kisah itu, guru berkenaan yang dikenali dengan nama Kristen Zastoupil memberitahu dia sebelum ini sering menghubungi Taylor. Tetapi apabila gagal menghubungi Taylor, dia mengesyaki pasti ada sesuatu yang telah terjadi kepada keluarga itu.

Makan makanan di dapur, peti sejuk

Setibanya pihak polis di rumah berkenaan, kanak-kanak terbabit membuka pintu dan memberitahu bahawa ibu mereka telah ‘jatuh pengsan’ di lantai sehingga kini masih belum sedarkan diri. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengakui sudah cuba menggunakan telefon bimbit milik ibunya untuk meminta pertolongan tetapi sayangnya mereka tidak berjaya membukanya kerana tidak tahu kata laluan telefon berkenaan. Kedua kanak-kanak ini memaklumkan mereka langsung tidak mengenali jiran tetangga selain berasa takut untuk keluar rumah.

Difahamkan, mereka berdua telah menjaga diri mereka sendiri selama seminggu dengan memakan makanan yang tersimpan di dapur dan peti sejuk. Menurut sumber, Taylor dipercayai meninggal dunia secara mengejut selain mengesyaki dia mengalami serangan jantung. Namun bedah siasat akan dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian. Maklumat mengenai keluarga kandung kanak-kanak lelaki ini masih belum dikeluarkan dan kini mereka ditempatkan di pusat penjagaan kanak-kanak.

Sumber: Daily Mail, Mirror UK

SKIP THIS AD ×