berita

Takut Bini Marah Duit Gaji Sikit, Lelaki Buat Laporan Palsu Kena Samun

December 10th, 2020 | by Zulaikha
Kini Trending

Kerana takut dimarahi oleh isteri akibat menghabiskan duit gaji membeli ‘dadah’, seorang lelaki bertindak membuat laporan palsu kononnya dia telah disamun oleh tiga lelaki yang tidak dikenali. Kejadian tersebut dipercayai berlaku di Jalan Kelapa Sawit, Kampung Ekor Kucing, Padang Serai. 

Buat laporan palsu

Sekadar gambar hiasan

Memetik laporan Berita Harianlelaki yang berusia 30 tahun, telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Padang Serai, pada 2 Disember yang lalu. Ketika kejadian, mangsa mendakwa dia telah ‘disamun’ ketika menunggang motosikal secara bersendirian.  Namun, secara tiba-tiba ‘suspek’ yang sedang bersembunyi dalam semak bertindak menahannya lalu mengacu parang di leher.

Menurut Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, lelaki tersebut telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim bagi merakam percakapan. Tidak berakhir di situ, pegawai penyiasat sudah pergi ke tempat kejadian bagi melihat tempat kejadian sekali gus, mendapatkan bukti dan saksi kejadian seperti apa yang telah ‘dilaporkan’ oleh lelaki itu.

Hasil siasatan mendapati maklumat diberikan tidak konsisten dan terdapat keraguan dalam keterangannya. Lelaki itu mengaku memberi maklumat palsu kepada pegawai penyiasat hingga satu kertas siasatan kes samun dibuka.

Takut isteri marah

Sekadar gambar hiasan

Difahamkan, pengadu bertindak membuat laporan palsu itu, kerana takut isterinya ‘marah’ akibat gajinya yang dikatakan sikit dan tidak mampu menampung perbelanjaan anak. Tambahan pula, pengadu juga memberikan alasan kepada isterinya bahawa gajinya telah dipotong disebabkan kad perakam waktu telah rosak.

Kini, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan selepas Order to Investigate (OTI) dibenarkan Timbalan Pendakwa Raya kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam yang boleh mendatang bencana kepada pihak lain. Jika sabit kesalahan, pengadu tersebut boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Siasatan mendapati suspek berbuat demikian untuk mengelak ahli keluarga mengetahui duit gajinya sudah digunakan untuk membayar hutang dadah dan membeli dadah.

Sumber: Berita Harian

SKIP THIS AD ×