berita

Takut Ditinggalkan Suami, Wanita Bunuh, Bakar Ibu Hamil Sebab Mahukan Bayi Dalam Kandungan

June 7th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang wanita yang menetap di Mexico City telah ditahan oleh pihak polis selepas dipercayai membunuh seorang remaja hamil 7 bulan. Lebih mengejutkan apabila wanita terbabit bertindak kejam dengan mengeluarkan bayi yang dikandung dari rahim mangsa.

Bunuh dan keluarkan bayi dari rahim

Menerusi laporan yang dipetik daripada Daily Star, mangsa yang berusia 17 tahun itu ditemui oleh pihak polis pada 30 Mei lalu dalam keadaan yang sangat menyayat hati. Suspek yang dikenali dengan nama Juanita itu telah membakar mayat mangsa sehingga rentung dan memasukkannya ke dalam satu beg plastik sebelum diletakkan di kaki lima.

Menurut sumber, kejadian itu berlaku ketika suspek mengajak mangsa ke rumahnya yang terletak di bandar Solidaridad. Suspek kemudian bertindak mengurung dan memukul kepala remaja terbabit dengan batu sebelum menikamnya sehingga mati. Lebih kejam apabila suspek tergamak mengeluarkan bayi dalam kandungan mangsa yang berusia 7 bulan itu.

Suspek tidak boleh lahirkan anak

Sebaik sahaja selepas mengeluarkan bayi lelaki berkenaan, suspek dikatakan bergegas ke hospital dan mendakwa bahawa bayi tersebut adalah anak kandung yang dilahirkannya. Bayi pramatang itu kemudian berjaya distabilkan oleh doktor namun keadaannya masih kritikal.

Difahamkan, suspek bertindak sedemikian kerana bimbang suaminya akan meninggalkannya kerana dia gagal memberi zuriat memandangkan dirinya tidak subur dan tidak boleh melahirkan anak. Bagaimanapun, pihak polis mendakwa Juanita atas kesalahan membunuh dan sekiranya didapati bersalah, dia boleh berdepan hukuman penjara sehingga 50 tahun.

Sumber: Daily Star, Daily Mail

SKIP THIS AD ×