Seperti yang sedia maklum, gitaris kumpulan Spider yang dikenali sebagai Napie dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh akibat serangan angin ahmar pada Julai lalu.
Terbaharu, Tam selaku vokalis kumpulan yang terkenal pada era awal 2000-an itu berkongsi keadaan terkini mengenai Napie.
Artikel Berkaitan: Dikejarkan Ke Hospital Kerana Strok, Napie Spider Selamat Jalani Pembedahan
‘Baru selesai pembedahan’
Menurut Tam atau nama sebenarnya Rustam Mustafah, Napie kini berada dalam keadaan yang lemah selepas menjalani pembedahan di bahagian otak.
Napie baru selesai pembedahan. Untuk tahun ini dia tidak dapat terlibat sekali dengan mana-mana konsert kami.
Dia pun masih sangat lemah sebab pembedahan tersebut melibatkan otak.
Tapi dia ada beri respon sikit-sikit, saya risau juga kalau ada kesan selepas pembedahan, harap tiada apa-apalah sebab sudah sebulan juga dia di hospital.
Tam berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media Konsert Jiwa Malaysia 2024 yang diadakan di Pavillion Bukit Jalil pada petang Khamis.
Ketika ditanya tentang keadaan kesihatan Napie sebelum diserang angin ahmar, Tam memaklumkan bahawa ahli kumpulan yang lain sudah menyedari tentang perubahan yang dialami gitaris kumpulan itu terutama sekali setiap kali menjalani sesi latihan bersama.
Kami sebenarnya dah nampak lama dah tanda-tanda dia tidak sihat sebab persembahan dia pun dah mula terganggu, tangan dah tak boleh cengkam, memori pun dah kurang tak boleh nak ingat semua lagu.
Itu antara sebab kita memilih untuk rehat dahulu. Kita tahu dalam keadaan begini tekanan itu tinggi untuk band jadi saya tak nak beri tekanan pada dia.
Dalam pada itu, Tam yang terkenal menerusi lagi ‘Aladin’ mengakui dirinya berasa sedikit ralat kerana tidak dapat membuat persembahan bersama Napie dan arwah Tony di Konsert Jiwa Malaysia 2024 yang akan diadakan di Stadium Nasional Hoki, Kuala Lumpur pada 7 September depan.
Sama macam saya ada beritahu sebelum ini, apa-apa pun kerja kena teruskan. Sedih dan ralat itu ada, tapi ini perjuangan yang perlu diteruskan. Kita gunakan semangat mereka bawa ke depan.
Saya bukan nak cakap sedih, tapi lebih kepada ralat. Sebab kalau sedih, kita tak main dah, saya tutup saja band ini cuma ralat sebab tak dapat bersama tapi perjuangan kena jalan lah.