Pelakon Jasmine Suraya memberitahu kawasan kediamannya di West Hollywood, Los Angeles, Amerika Syarikat kini berada pada tahap amaran peringkat kedua susulan kebakaran hutan yang berlaku di Taman Runyon Canyon. Berikutan daripada itu, mereka diminta untuk berjaga-jaga.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Jasmine Suraya Berdepan Detik Cemas Akibat Kebakaran Hutan Di Los Angeles – ‘Saya Naik Ke Bumbung Periksa Keadaan’
Artikel Berkaitan: Kediaman Hangus Dijilat Api, Paris Hilton Antara Artis Terjejas Tragedi Kebakaran Hutan Di Los Angeles
Tahap amaran peringkat kedua
Memetik laporan Harian Metro, Jasmine berkata, perintah berkurung yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan sebelum ini sudah tamat, namun penduduk dinasihatkan untuk bersiap sedia dengan semua barang penting sekiranya terpaksa berpindah.
Setakat ini kawasan kediaman saya adalah di tahap amaran peringkat kedua. Tahap kritikal adalah peringkat ketiga.
Disoal mengenai perancangan untuk berpindah ke kawasan kediaman lain yang lebih selamat, Jasmine memberitahu, ketika ini Los Angeles berdepan krisis di mana ramai yang hilang rumah disebabkan kebakaran itu.
Sekarang ini keadaan angin tidak menentu dan dijangka akan lebih kuat lagi. Ada juga tempat yang kebakaran masih berlaku. Jadi, takutlah keadaan angin itu akan buat api merebak. Cuma, nasib baik tempat saya tinggal sekarang okay, tak kena api. Namun, kita sebagai penduduk dinasihatkan untuk berjaga-jaga sebab angin dijangka akan lebih kuat beberapa hari lagi.
Berbicara lebih lanjut, Jasmine akui dia berasa trauma akibat musibah itu. Jelas Jasmine, keadaannya masih okey, cuma tangannya terketar-ketar teruk ketika mengemas barang apabila diarahkan berpindah serta-merta, baru-baru ini.
Saya okay saja setakat ini. Cuma seingat saya, hanya tangan yang terketar-ketar apabila nak ‘packing’ barang pada masa itu sebab telefon saya berlambak mesej masuk yang suruh cepat pergi dan bunyi notifikasi juga kuat sangat macam ‘alarm’.
Masa dapat notifikasi kena pindah serta-merta, saya pindah ke rumah kawan dulu. Ingatkan nak balik ke rumah sehari selepas itu, tapi tidak dibenarkan. Jadi, saya dengan kawan sanggup memandu jauh lebih tiga jam perjalanan ke tempat tiada kebakaran.
Terdahulu, Jasmine memuat naik hantaran sebuah video di Instagram memaparkan kawasan kebakaran di Ranyon Canyon yang tidak jauh dari tempat tinggalnya.
Sumber: Harian Metro