berita

Tanggung Hutang Kad Kredit 100 Juta Won, 3 Beranak Ditemui Tenggalam Dipercayai Bunuh Diri

July 3rd, 2022 | by Zulaikha
Kini Trending

Foto: The Korea Herald

Kecoh di media sosial, mengenai satu kisah yang terjadi di Korea di mana sebuah keluarga ditemui di dasar laut (tenggelam) pada Rabu yang lepas. Difahamkan keluarga kecil ini dilaporkan hilang dan pihak polis mengesyaki terdapat motif membunuh diri berikutan mengalami masalah kewangan.

Disyaki membunuh diri

Foto: News

Balai polis Gwangju Nambu menerusi laporan The Korea Herald, mengesahkan tiga mayat ditemui di dalam sebuah kereta sedan jenis Audi dalam keadaan terbalik di perairan Wando, Wilayah Jeolla Selatan. Sebelum ini, Cho Yu-na yang berusia 10 tahun dan ibu bapanya telah dilaporkan hilang dan pengesahan identiti telah dilakukan melalui pemeriksaan cap jari. Terdahulu, cap jari Cho telah didaftarkan menerusi sebuah sistem bagi pencegahan kanak-kanak hilang.

Bercerita lebih lanjut, Cho dan ibunya dipercayai duduk di bahagian belakang penumpang tanpa memakai tali pinggang keledar manakala bapanya yang berada di tempat duduk pemandu memakai tali pinggang keledar.

Walaupun mayat telah dihantar bagi tujuan bedah siasat, Perkhidmatan Forensik Kebangsaan tidak dapat menentukan punca kematian berikutan mayat mangsa telah reput akibat berada di dalam air dalam satu tempoh yang lama. Bagaimanapun, pihak yang bertanggungjawab akan menjalankan lebih banyak ujian terhadap mayat namun, ia mengambil masa kira-kira sebulan sebelum keputusan keluar.

Pihak polis bagaimanapun menyiasat kes berkenaan sebagai kes bunuh diri berikutan terdapat sejarah carian internet ibu bapa Cho termasuk pil tidur dan mata wang kripto sebelum hilang. Jelas pihak polis lagi, keluarga Cho Yu-na dipercayai mengalami masalah kewangan dan kedua-dua ibu bapa Cho dilaporkan telah berhenti kerja pada musim panas tahun lalu.

Punyai hutang yang tinggi

Foto: News

Menerusi laporan keluarga ini dipercayai mempunyai hutang kira-kira 100 juta won (anggaran RM339,289.69) pada kad kredit mereka dan telah melabur sejumlah wang yang agar besar nilainya dalam mata wang kripto. Bagaimanapun, pihak polis masih menyiasat kemungkinan lain seperti berlakunya kemalangan kereta berikutan lokasi mereka sebelum sebelum meninggal dunia tidak diketahui.

Sebelum ini, Cho tidak hadir ke sekolahnya di Gwangju selama 18 hari bermula 19 Mei hingga 15 Jun, berikutan ibu bapanya meminta cuti bagi perjalanan selama sebulan ke Pulau Jeju. Bagaimanapun, keluarga ini dilaporkan sama sekali tidak sampai ke Pulau Jeju dan hanya tinggal selama seminggu di Wando.

Susulan daripada Cho tidak menghadiri kelas selepas tempoh itu dan tidak dapat dihubungi selama beberapa hari, pihak sekolah bertindak melaporkan kes berkenaan kepada pihak polis.

Mengulas lebih lanjut, keluarga kecil ini dilihat kali terakhir pada 30 Mei jam 11 malam melalui rakaman litar kamera tertutup (CCTV) berhampiran rumah tamu tempat mereka menginap di Wando. Menerusi klip berkenaan dapat dilihat seorang wanita membawa seorang kanak-kanak yang dipercayai Cho dan disertai bapanya.

Bukan itu sahaja, telefon bimbit milik keluarga berkenaan juga didakwa telah dimatikan dalam masa beberapa jam selepas rakam klip tersebut dan isyarat telefon mereka juga dilaporkan telah hilang.

Sumber: The Korea Herald & News

SKIP THIS AD ×