Persatuan Seni dan Budaya Redholah atau The Redholah tampil dengan langkah berani untuk ketengahkan fakta sejarah yang tidak pernah diketahui di dalam pementasan teater Dang Anum (The Untold Story).
Artikel Berkaitan: Along Eyzendy Sangkal Dakwaan Ambil ‘Barang’ – ‘Saya Tak Boleh Naik Berat Badan, Nanti Ganggu Bacaan Buah Pinggang’
Artikel Berkaitan: Ain Sufia Amalkan Doa, Gusar Kisah Sejarah Menjadi Realiti – ‘Ya Allah, Aku Jadi Watak Ini Untuk Berlakon Sahaja’
Angkat fakta sejarah
Menurut pengarah teater ‘Dang Anum’ iaitu Amirul Haswendy Ashari, pementasan teater ini bakal berlangsung di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya selama tiga hari bermula 27 September nanti.
Selama ini masyarakat beranggapan kisah legenda rakyat, Dang Anum dan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang adalah berkaitan kekejaman Sultan Mahmud iaitu sultan terakhir dari susur galur Kesultanan Melaka yang menduduki takhta di Kerajaan Johor Lama.
Mengikut kisah legenda rakyat, Sultan Mahmud menjatuhkan hukuman dengan membelah perut Dang Anum yang sarat mengandung ketika itu kerana bersalah mengambil seulas nangka disebabkan mengidam.
Namun, pada penggambaran dokumentari khas di Kota Tinggi, Johor selepas pementasan teater Dang Anum tahun lalu, kami mendapati kisah Dang Anum dibelah perut kerana seulas nangka adalah rekaan semata-mata.
Tambah Amirul, pihaknya berjaya menemui beberapa fakta menarik. Antaranya, Sultan Mahmud, Dang Anum dan Laksamana Megat Seri Rama atau dikenali Laksamana Bentan menjadi mangsa fitnah kerana kuasa dan dendam.
Ujar Amirul lagi, sisi itu didedahkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia di Kota Tinggi melalui sesi temu bual eksklusif yang kini boleh ditonton di YouTube rasmi The Redholah.
Selama berpuluh tahun, kita dimomokkan dengan kekejaman Sultan Mahmud dan penderhakaan Laksamana Bentan melalui filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pada 1961 dan Dang Anom (1962), selain pelbagai rendisi pementasan dua kisah itu di pentas teater.
Amirul yang ditemui di majlis sidang media ‘Dang Anum’ di Putrajaya, baru-baru ini, turut mengakui dia berdepan cabaran mendapatkan penajaan untuk teater ini.
Di akhir temu bual, Amirul memberitahu teater ini bakal dipentaskan juga di Melaka dan Johor Bahru pada bulan Oktober serta November depan dengan harapan ia dapat menarik lebih ramai penonton dari luar Lembah Klang.
Sekadar info, Teater Dang Anum (The Untold Story) adalah projek pementasan teater melalui GSSK di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kolej Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Antara barisan pelakon yang terlibat ialah Along Eyzendy, Adam Shahz, Ain Sufia, AG Hafiz Hotfm, Affan Mohd, Md Husin, Karl Dannish, Zalif Sidek dan ramai lagi.