Tiada siapa yang mahu menjadi miskin. Namun, jika hidup terus dihimpit kedaifan, perlukah ianya menjadi bahan keluh kesah atau sebaliknya dijadikan api untuk terus bernyawa?
Teater ‘Jam Dinding Yang Berdetak’ menjadi pembuka tirai Lambang Sari, Istana Budaya tahun 2014 dengan mengangkat tema kemiskinan dan kekeluargaan. Setiap watak yang ditampilkan dalam teater ini mempunyai konflik dalaman tersendiri tetapi cuba diselindungkan disebalik pengharapan untuk mengubah kehidupan keluarga mereka.
Ia merupakan sebuah naskhah karya Nano Santiarno yang seterusnya dibawa ke dalam bentuk teater oleh Aloeng Silalahi. Dengan hanya menggunakan 4 orang teraju utama iaitu Siti Suya Suryani, Kirin Muhamad, Nadiya Nisaa dan Amerul Affendi, teater ini dilihat mampu bermain dengan emosi penonton.
Rafidah terus bersikap dingin terhadap Adzam yang ingin menuntut haknya sebagai seorang suami
Penceritaan teater ini dimulakan dengan watak Adzam (lakonan Kirin Muhamad) yang telah menganggur hampir 3 tahun disebabkan oleh operasi pengurangan pekerja di syarikatnya. Akibatnya, Adzam mengalami kemurungan serius dan mula terjebak dengan minuman keras sehingga menjadi kaki botol tegar.
Tidak cukup dengan itu, hak Adzam sebagai seorang suami yang masih mahukan belaian seorang isteri telah dinafikan oleh Rafidah (lakonan Siti Suya Suryani). Dengan alasan letih kerana mengambil upah membasuh dan menggosok baju, Rafidah enggan melayan nafsu Adzam dan separuh rela membenarkan suaminya itu untuk memuaskan kelelakiannya bersama wanita lain.
Nadiya Nisaa memegang watak sebagai Erna yang menampung kos pembelajaran Adi ( Amerul Affendi )
Erna (lakonan Nadya Nisaa) sanggup berhenti belajar semata-mata kerana mahu memberi wang saku kepada adiknya, Adi. Erna dilihat menjadi tulang belakang yang memberi sokongan kepada setiap ahli keluarganya.
Adi (lakonan Amerul Affendi) pula merupakan satu-satunya harapan buat keluarga itu. Namun, segalanya musnah apabila Adi dibuang universiti kerana bertelingkah dengan pensyarah di tempat pengajiannya.
Antara babak yang dipertontonkan dalam teater ‘Jam Dinding Yang Berdetak’
Demi menyambut ulangtahun perkahwinan ibu bapa mereka, Erna dan Adi sanggup membeli sebotol arak semata-mata mahu ayah mereka bermalam di rumah.
Sambutan kecil yang diadakan telah mengimbas kenangan manis antara Adzam dan Rafidah semasa muda. Nyata, mereka masih mencintai antara satu sama lain.
Namun, mampukah Adzam terus berada di sisi Rafidah yang terus menerus bersikap dingin kepadanya? Adakah kemiskinan itu terlalu menekan sehingga erti kebahagiaan itu langsung tidak layak dikecapi oleh mereka sekeluarga?
Erna dan Adi merancang untuk mengadakan sambutan ulangtahun perkawinan ibu bapa mereka
Bagi penulis, teater ini lebih sesuai untuk ditonton oleh individu yang berfikiran matang. Tidak semua orang mampu mendefinisikan mesej yang ingin dipertontonkan dengan tepat kerana naskhah ini mempunyai terlalu banyak konflik sehingga membuatkan penonton agak keliru. Namun, pujian harus diberikan kepada semua pelakon kerana bijak bermain dengan emosi penonton.
Bagi mereka yang berminat, teater ‘Jam Dinding Yang Berdetak’ masih dipentaskan sehingga 19 Januari ini dengan harga RM30, RM50, dan RM80.