berita

Tegur Cara Lelaki Tunggang Motosikal, Pengawal Keselamatan Dilibas Pedang Meninggal Dunia

August 8th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Foto: Harian Metro

Pengawal keselamatan yang cedera parah akibat dilibas pedang selepas menegur seorang lelaki kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Tapak Pembinaan di Bukit Bayan disahkan meninggal dunia, semalam.

Meninggal dunia lepas dilibas pedang

Foto: Allahyarham Ismail Ahmad 

Memetik laporan Harian Metro, mangsa iaitu Ismail Ahmad berusia 58 tahun dilaporkan menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 6 petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani. Difahamkan, mangsa telah dimasukkan ke hospital sejak Khamis lalu akibat kecederaan parah di kepala dan tangan kiri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda iaitu Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan mengesahkan kematian mangsa. Mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk proses bedah siasat. Tambah Zaidy lagi, pihaknya masih menunggu keputusan siasatan lengkap bagi mengetahui punca kematian mangsa.

Suspek mengaku bersalah

Foto: Harian Metro

Susulan daripada itu, seeorang lelaki iaitu R Subramaniam telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pedang terhadap mangsa. Tertuduh yang berusia 41 tahun itu telah mengaku bersalah terhadap perbuatannya dan mahkamah menetapkan 29 Ogos depan untuk tarikh jatuh hukum.

Selain itu, tertuduh dibenarkan diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda sehingga kes selesai.

Terdahulu, Allahyarham Ismail dikatakan menegur tertuduh yang dilihat menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan tapak projek sebelum berlaku pertengkaran. Tertuduh kemudian pulang ke rumah dan datang semula bersama dua lagi rakannya dan melibas sebilah pedang terhadap mangsa sehingga pengawal keselamatan itu terpaksa dikejarkan ke hospital.

Sumber: Harian Metro

SKIP THIS AD ×