berita

Tekanan Kerja Punca Penjawat Awam Terjerumus Dalam Kancah Penagihan Dadah

March 2nd, 2019 | by Amirul Asraf
Kini Trending

Kerana dadah, ramai yang bertindak di luar kewarasan. Tidak hairanlah ada yang sanggup melakukan aktiviti jenayah sehinggalah mencederakan atau lebih teruk menyebabkan kematian apabila berada dalam pengaruh bahan terlarang itu.

Tidak sekadar itu, mereka yang ketagihan juga akan melakukan apa sahaja bagi melepaskan gian terhadap musuh utama negara itu sehinggakan ada yang terpaksa meninggalkan pekerjaan yang hakikatnya mampu menjamin masa hadapan mereka.

Penjawat awam positif dadah

Menerusi Harian Metro, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Datuk Izhar Abu Talib berkata, pembabitan penjawat awam dengan penyalahgunaan dadah boleh dikatakan serius dan perlu ditangani segera,

Beliau berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, daripada 27,900 kakitangan awam yang menjalani ujian air kencing, 300 didapati positif dadah.

Kebanyakan penjawat awam didapati positif dadah jenis methamphetamine kerana ia mudah diperoleh dengan harga mampu milik selain dapat membantu meningkatkan tenaga untuk bekerja. Kebanyakan mereka yang terbabit dengan dadah ini daripada kumpulan sokongan seperti pemandu.

Program tempat kerja bebas dadah (TEKAD)

Beliau juga berkata, bagi mengurangkan pembabitan kakitangan awam dengan penyalahgunaan dadah, AADK menjalankan program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) sejak 2010, yang antara lain menggalakkan proses rawatan pemulihan dalam kalangan pekerja yang terbabit dengan dadah.

Pembabitan kakitangan awam dengan dadah adalah serius. Selain program TEKAD, majikan disaran mengambil inisiatif menubuhkan jawatankuasa pencegahan dadah di tempat kerja masing-masing.

Tekanan semasa bekerja

Katanya lagi, antara faktor penjawat awam terbabit dalam penyalahgunaan dadah ialah tekanan tinggi semasa bekerja, tempoh masa kerja yang lama atau giliran bekerja yang tidak menentu selain keadaan tempat kerja yang teruk atau bahaya.

Selain itu, bekerja dalam suasana mengejar tarikh akhir serta sistem penyeliaan yang ketat dan tidak menentu, selain perubahan organisasi misalnya berpindah tempat kerja atau pertindanan kerja turut menjadi faktor penjawat awam terbabit dengan dadah.

Simptom pekerja terbabit dengan penyalahgunaan dadah

Beliau berkata, antara simptom yang ditunjukkan oleh pekerja yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah ialah kualiti kerja yang tidak konsisten, cuai dan kerap melakukan kesilapan, sering mengalami masalah kewangan, mengelak rakan kerja dan penampilan diri semakin merosot.

Sementara itu, Izhar berkata, individu yang terbabit dengan najis dadah tidak seharusnya dipinggirkan sebaliknya wajar diberi peluang kedua dengan menghantar mereka mengikuti program intervensi yang dianjurkan oleh kerajaan dan swasta.

Kita seharusnya beri mereka peluang kerana apabila mereka hilang punca pendapatan ia akan turut memberi impak kepada anggota keluarga mereka.

Sumber: Harian Metro

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Senior Content Champion at Rev Media Group
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.

SKIP THIS AD ×