Kotoran dalam telinga atau tahi telinga merupakan bahan semula jadi yang dihasilkan oleh gabungan kelenjar sebaceous dan kelenjar ceruminous yang terletak di dalam saluran telinga.

Artikel Berkaitan: Memahami Narcissistic Personality Disorder (NPD) & Kesan Terhadap Kehidupan Seharian

Artikel Berkaitan: Nak Jawline Tajam? Buat Senaman Leher ‘Confirm’ Wajah Lebih On!

Lindungi saluran telinga

Fungsi utama tahi telinga tersebut adalah untuk melindungi saluran telinga daripada debu, bakteria dan pelbagai bentuk iritasi.

Dalam sesetengah keadaan, pengumpulan tahi telinga ini boleh menyebabkan rasa kurang selesa seperti kegatalan, atau pendengaran yang sedikit terjejas.

Keadaan ini sering membuatkan seseorang terdorong untuk mengorek telinga bagi mendapatkan kelegaan dan keselesaan.

Namun, kaedah mengorek telinga dengan menggunakan putik kapas mencenderung untuk menolak kotoran ini lebih jauh ke dalam saluran telinga, sekali gus menyebabkan ia berkumpul, mengeras dan menghasilkan lebih banyak tahi telinga.

Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan risiko saluran telinga tersumbat, malah turut berpotensi mencederakan struktur dalaman telinga yang sensitif.

Penggunaan putik kapas untuk membersihkan telinga sebenarnya boleh merangsang penghasilan tahi telinga dengan lebih banyak lagi.

Geseran yang terhasil daripada putik kapas tersebut berpotensi mengiritasikan lapisan kulit dalam saluran telinga, sekali gus mendorong tubuh menghasilkan lebih banyak kotoran sebagai tindak balas perlindungan.

Cara yang selamat

Sebagai alternatif yang lebih selamat, penggunaan ubat titisan telinga boleh membantu melonggarkan dan melarutkan lebihan tahi telinga tanpa sebarang kecederaan.

Formulasi titisan ini membantu melembutkan kotoran secara perlahan-lahan, sekali gus memudahkan ia keluar sendiri melalui proses pembersihan semula jadi telinga.

Selain itu, minyak zaitun atau minyak bayi juga boleh digunakan untuk melembutkan tahi telinga yang mengeras, terutama apabila saluran telinga mula tersumbat sehingga menjejaskan tahap pendengaran.

Kaedah ini membantu mengurangkan tekanan dalam telinga dan memudahkan pengeluaran kotoran tanpa perlu mengorek.

Sekiranya saluran telinga tersumbat atau menimbulkan ketidakselesaan berpanjangan, dapatkan bantuan profesional.

Individu terlatih atau pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) biasanya menggunakan peralatan khusus seperti mikroskop atau skop untuk melihat keadaan dalam saluran telinga dengan lebih jelas.

Prosedur pembersihan ini dijalankan di klinik atau hospital bagi memastikan keselamatan pesakit serta mengelakkan sebarang risiko kecederaan yang serius seperti koyakan gegendang telinga.

Sumber: Rapi