berita

Temui Tulang Manusia & Barangan Peribadi, Misteri 3 Tahun Kehilangan Annapuranee Bakal Terjawab?

July 10th, 2020 | by Shahira
Isu & Kontroversi

Misteri kehilangan seorang wanita warganegara Australia iaitu Annapuranee Jenkins sejak 3 tahun lalu dipercayai akan terjawab tidak lama lagi. Hal ini berikutan daripada penemuan cebisan tulang manusia dan beberapa barangan peribadi di kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung, Georgetown.

Cebisan tulang ditemui

Menerusi laporan daripada Buletin Utama yang disiarkan pada 9 Julai 2020 memaklumkan bahawa barangan itu ditemui oleh seorang lelaki yang melakukan kerja landskap di kawasan hutan berkenaan. Menurut sumber, barangan tersebut dipercayai berada dalam keadaan berselerak dan bukannya ditanam serta ianya ditemui lebih kurang 3 kilometer daripada lokasi terakhir wanita itu dilaporkan berada pada tahun 2017 yang lalu.

Selain tulang manusia itu, polis turut menjumpai baju, jaket, cermin mata, kasut sebelah dan beg kecil yang mengandungi kad akses hotel yang didiami wanita berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong memaklumkan bahawa pihak mereka tidak dapat mengesahkan sama ada tulang pinggul tersebut mempunyai kaitan dengan kes kehilangan Annapuranee atau pun tidak.

Sampel DNA akan dihantar ke Malaysia

Tambahnya lagi, pihak polis kini sedang berurusan dengan Kedutaan Australia di Malaysia untuk berhubung dengan keluarga mangsa yang berada di Australia atas tujuan mendapatkan sampel DNA. Susulan itu, Harian Metro melaporkan, sekiranya pihak polis menerima sampel DNA berkenaan maka ujian perbandingan boleh dijalankan dengan segera sekaligus maklumat mengenai penemuan tulang itu juga dapat diperoleh.

Bagi tujuan perbandingan, Jabatan Kimia Pulau Pinang bersetuju untuk melaksanakannya dengan segera sebaik sahaja mendapat sampel itu.

Sementara itu, ahli keluarga mangsa dikatakan sudah bersetuju dan bersedia untuk menghantar sampel DNA ke Malaysia memandangkan warganegara asing masih belum dibenarkan masuk ke nagara ini.

Sumber: Buletin Utama, Harian Metro

SKIP THIS AD ×