Hampir sedekad tidak muncul di kaca televisyen mahupun layar skrin, pelakon dan pengacara, Datin Fouziah Gous akhirnya tampil berkongsi mengenai kehidupannya pada masa ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] 10 Tahun Tak Berlakon, Zahida Rafik Idam Watak Yang Mencabar & Lasak Untuk Buat ‘Come Back’
Belum bersedia nak tinggalkan syarikat
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Fouziah berkata, dia masih menerima tawaran berlakon daripada beberapa orang pengarah namun, terpaksa menolak tawaran tersebut berikutan sibuk menguruskan perniagaan yang diusahakan olehnya sejak 1o tahun yang lalu.
Sebenarnya ada sahaja pengarah yang panggil saya berlakon. Macam mama Erma Fatima pernah tanya saya ‘kau tak nak berlakon lagi ke?’. Ada juga orang yang saya kenal tanya dan siap pujuk untuk buat sekali sahaja projek terbaru mereka. Tapi urusan kerja macam itu perlu komitmen.
Tambahan pula saya ceo syarikat. Jadi banyak perkara yang berkaitan fizikal saya perlu ada. Jadi belum sesuai untuk saya ambil tawaran berlakon. Lagipun, saya tak nak ambil sekadar ala kadar sahaja. Mesti saya nak buat yang terbaik kalau nak buat ‘come back’ semula.
Senang cakap, saya belum bersedia nak tinggalkan syarikat.
Pelakon drama ‘Tahajjud Cinta’ ini turut mengakui dia akan memilih naskah yang bersesuaian untuk muncul semula dalam industri seni.
Harus memilih fasa sekarang berbanding dahulu sebab kita bukan lagi dalam industri. Dulu job kita mungkin itu sahaja dan kita kena terima. Sekarang saya dah ada banyak benda nak fokus.
Rindu terhadap lakonan ada sahaja, tapi kalau dapat yang best, bagus. Tak nak la kalau buat yang tak best.
Tambah isteri kepada Datuk Mohd Zhafran Md Yusof ini lagi, kali terakhir dia berlakon pada tahun 2019 iaitu di bawah arahan Haji Zil untuk drama Sara Sajeeda di TV3.
Ikutkan lebih kurang 10 tahun saya tak berlakon. Tapi dalam tempoh masa tersebut, saya ada berlakon satu drama dengan Haji Zil sebagai Nelissa. Itupun saya ambil sebagai tanda persahabatan dan sekadar watak pembantu sahaja. Fokus saya masa itu terhadap perniagaan sahaja.
Disoal sama ada selesa ataupun tidak apabila namanya kurang dikaitkan dengan kontroversi mahupun isu-isu panas, Fouziah memberitahu dia sangat selesa dan tenang dengan kehidupan seperti ini.
Kalau masih ada gelaran selebriti itu, orang tetap akan mencari kesalahan. Oleh sebab itu, saya ambil langkah berpada-pada dalam semua benda.
Sebagai contoh, saya akan berpada-pada kongsikan mengenai kehidupan saya. Zaman sekarang kita boleh buat apa sahaja untuk tarik perhatian orang. Saya takut nak komen atau tarik perhatian orang. Semua benda saya akan berhati-hati. Bukan nak tunjuk baik, cuma tak nak orang ambil satu point itu dan jadikan ia sebagai benda yang besar.
Fouziah yang ditemui pada Malam Bersamamu Rafah, baru-baru ini turut meluahkan rasa syukur apabila impiannya untuk menjadi seorang ahli perniagaan tercapai.
Dulu kalau orang temu bual dan tanya saya nak jadi apa 10 tahun akan datang, saya jawab nak jadi ahli perniagaan. Alhamdulillah, sekarang impian itu tercapai.