berita

Tentera Laut Jumpa Emas Bernilai RM74 Bilion Dalam Kapal Karam

June 13th, 2022 | by Shahira
Kini Trending

Sejumlah emas bernilai AS$17 bilion anggaran RM74 bilion telah ditemui di dalam sebuah kapal karam di luar pantai Cartagena, Colombia. Kapal tersebut dipercayai telah karam lebih 300 tahun lalu.

Jumpa emas bernilai RM74 Bilion

Memetik laporan Maritime Executive, emas tersebut ditemui oleh tentera laut Colombia menggunakan kenderaan kawalan jauh yang dihantar jauh ke dasar laut. Menerusi rakaman, imej berwarna biru dan hijau menunjukkan syiling emas, tembikar dan cawan porselin bertaburan di dasar laut.

Difahamkan, kapal tersebut merupakan sebuah kapal perang Sepanyol yang dipercayai telah karam sekitar tahun 1708. Pada 28 Mei 1708, galleon Tentera Laut Sepanyol San Jose, San Joaquin dan Santa Cruz berlayar dari Portobelo ke Cartagena, diiringi oleh 14 kapal dagang. San Jose membawa anggaran tujuh juta peso emas.

Pada 8 Jun, mereka telah diserang oleh empat kapal perang Tentera Laut Diraja dan membuatkan kapal yang membawa emas itu turut meletup dan karam ke dasar laut. Santa Cruz telah ditangkap dan San Joaquin melarikan diri ke tempat selamat di pelabuhan Cartagena.

Kerajaan nak teroka bangkai kapal

Sebelum ini, seorang penyelamat peribadi mendakwa telah menemui bangkai kapal San Jose pada 1981, tetapi Colombia menafikan dakwaan tersebut. Kes tersebut telah dibawa ke mahkamah dan pada tahun 2015, Tentera Laut Colombia mendakwa “menjumpai” dan mengesahkan lokasi kapal itu semula.

Namun baru-baru ini, pihak berkuasa Colombia mengeluarkan rakaman baharu serpihan kapal berkenaan. Menurut Presiden Iven Doque, kerajaan berhasrat membangunkan mekanisme pembiayaan mampan untuk meneroka bangkai kapal berkenaan sehingga emas dan artifak lain dapat dipulihkan dan ditempatkan di muzium.

Sumber: Maritime Executive

SKIP THIS AD ×