Menepati ramalan! Liza Aziz berjaya dinobatkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-11 pada konsert akhir yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, pada Ahad.
Artikel Berkaitan: Ning Baizura Setuju Sertai GV11 Demi Ibu, Ingin Cipta Kenangan Terindah – ‘Dia Dah 80 Tahun & Hidap Dimensia’
Artikel Berkaitan: ‘Saya Akan Terus Jadi Kepom’
RM100,000 dalam tangan
Menerusi kemenangan itu, Liza berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 beserta trofi sekali gus menjadi penerima Anugerah Terpaling Adabi.
Di pentas akhir, Liza telah menyampaikan lagu ‘I Surrender’ dalam pusingan solo dan lagu ‘Cinta’ pada pusingan duet bersama penyanyi undangan Krisdayanti.
Manakala menerusi segmen ‘battle’ pula, penyanyi berusia 62 tahun itu menyampaikan lagu ‘Angkat’ bersama finalis wanita yang lain iaitu Ning Baizura, Zehra Zambri dan Sheila Abdul.
Meluahkan rasa syukur atas kemenangan tersebut, pelantun lagu ‘Bermula Cerita’ itu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong.
Akhirnya kini saya menang. Jutaan terima kasih kepada semua yang tidak henti menyokong. Terima kasih kepada peminat sentiasa menyokong.
Sementara itu, naib juara disandang oleh Ning Baizura sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta trofi.
Tempat ketiga dan keempat pula dimenangi oleh Sheila Abdul dan Dadali Dyrga dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM30,000 dan RM 20,000 beserta trofi.
Dalam pada itu, tempat kelima dan keenam dimenangi oleh Zehra Zambri dan The Lima dengan masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.
Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Sherry Alhahad, pentas akhir GV11 telah diadili oleh juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.