Kehilangan yang sukar dicari ganti. Itulah yang digambarkan apabila dunia seni dikejutkan dengan pemergian pengarah terkenal Mamat Khalid akibat serangan jantung di Hospital Slim River, Perak, awal pagi hari ini.
Pengarah terawal nampak bakat
Laman media sosial dipenuhi dengan hantaran rakan seperjuangan yang meluahkan rasa sedih serta menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga.
Antara yang mencoret adalah aktor Que Haidar. Menurut Que, 42, Allahyarham adalah individu terawal yang mengesan bakat yang terpendam dalam dirinya.
Antara pengarah terawal yang mengesan bakat saya. Bermula dengan satu komersial Putrajaya dan seterusnya menghadiahkan saya Amy Mat Piah juga Deris. Al-fatihah untuk Abang.
Terima kasih hiburkan hati arwah mak
Selain itu, menerusi Instagram, aktor kacak Zul Ariffin turut berkongsi kenangan berlakon dengan Allahyarham ketika filem Hantu Kak Limah.
Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin turut mengucapkan terima kasih kepada Allahyarham kerana pernah menghiburkan hati arwah ibunya, Robiah Nasir yang meninggal dunia pada Disember 2017.
Al-Fatihah dan takziah kepada keluarga arwah abang Mamat Khalid. Sesiapa yang kenal dan pernah tengok watak Encik Solihin, mohon sedekahlah Al-fatihah.
Terima kasih abang hiburkan hati arwah mak saya kat set, bagi dia senyum kat set walaupun ketika itu hati anak dia rabak tapi masih kuatkan diri untuk teruskan kerja untuk karya abang.
Dalam pada itu, ahli keluarga Allahyarham memohon jasa baik orang ramai supaya tidak berkongsi sebarang gambar jenazah di media sosial.
Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Masjid Kampung Paloh, Ipoh, jam 11 pagi.
Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima orang anak.
Terdahulu, Allahyarham pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia.
Sumber: BH Online, Instagram @zul_ariffin, Twitter @que_haidar