Siapa sangka dalam tempoh waktu sehari sahaja, seorang wanita yang dikenali sebagai Siti Azimah ini menerima khabar duka dan gembira secara serentak.
Menerusi laporan Harian Metro, Siti Azimah reda dengan ketentuan Ilahi apabila suaminya, Shahrol Amri meninggal dunia pada 18 Jun lalu dipercayai akibat serangan jantung. Namun, terselit sedikit pengubat dukanya apabila anak ketujuhnya iaitu Siti Nur Aisyatull Humaira lahir beberapa jam selepas suami disahkan meninggal dunia.
Masih terkejut
Saya sebenarnya masih terkejut dengan pemergian suami secara tiba-tiba. Sebelum ini suami tidak pernah mengadu sakit dan sekali-sekala memberitahu hanya penat, malah ketika kejadian arwah sempat menunaikan solat Subuh seperti kebiasaan. Pada jam 8 pagi, arwah bangun daripada tidur dan seperti sesak nafas sebelum saya segera menghubungi ambulans.
Menurut Siti Azimah, nama anak perempuannya itu dipilih oleh arwah suaminya sendiri dan ianya merupakan ‘hadiah’ terakhir daripada arwah. Tambahnya, sehingga sekarang dia masih terkejut dan tidak percaya bahawa suaminya sudah tiada.
Setibanya ambulans di rumah, pegawai perubatan mengesahkan suami sudah tidak bernyawa jam 8.30 pagi. Saya terkejut dan terpinga-pinga dengan kematian suami secara tiba-tiba. Selepas menghantar jenazah suami ke Hospital Kajang untuk bedah siasat pada jam 6 petang saya sudah rasa sakit untuk bersalin. Sepatutnya saya dijangka bersalin pada 28 Jun ini, tapi takdir Allah saya melahirkan anak beberapa jam selepas kematian suami iaitu 12.09 tengah malam di Hospital Serdang.
Tidak tunjuk sebarang petanda
Sementara itu, Siti Azimah memberitahu bahawa suaminya tidak menunjukkan sebarang petanda sebelum meninggal. Ujarnya lagi, pemergian suami dan kelahiran anak ketujuhnya ini ibarat Allah menarik satu nyawa dan menggantikannya dengan yang baru.
Saya tak perasan sangat, cuma arwah suami ada kata dua tiga hari sebelum ini saya ada sakit-sakit (nak bersalin). Arwah cakaplah mungkin baby kami nak keluar hari Jumaat, tetapi saya tak sangka hari sama dia (suami) yang pergi. Mungkin boleh mengubat kelukaan saya, tetapi saya tetap merindui suami yang baik untuk saya dan anak-anak. Saya tidak sempat melihat jenazah suami dan menguruskan pengebumian kerana baru melahirkan anak.
Sebagai suri rumah, Siti Azimah nekad untuk menjaga kesemua anaknya dengan baik. Malah, dia tidak akan menyerahkan kesemua anaknya kepada mana-mana individu. Bercerita mengenai perancangan masa hadapan, Azimah akan mula berniaga secara atas talian demi kelangsungan hidup.
Sumber: Harian Metro