Penyanyi Indonesia, Andmesh Kamaleng menitiskan air mata terkenang arwah ibu dan bapanya saat mendendangkan lagu di konsert Andmesh Kamaleng Live in Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Plenary KLCC, pada Ahad lalu.
Andmesh sebak nyanyi lagu Luka
Bukan sahaja Andmesh, malah seluruh penonton di dewan turut sebak dan menitiskan air mata apabila penyanyi popular ini menyanyikan lagu ‘Luka’ yang didedikasikan khas untuk mendiang bapanya, Yes Kamaleng. Begitu juga semasa dia menyampaikan lagu ‘Hanya Rindu’ yang dibuat khas untuk mendiang ibunya.
Turut kelihatan beberapa foto mendiang ibu bapanya bermain di layar semasa Andmesh membuat persembahan. Andmesh sempat memanggil dua adik perempuannya iaitu Echy dan Inda yang datang jauh dari Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia naik ke pentas sambil berpelukan sesama mereka.
Penyanyi berbakat luar biasa
Tak dinafikan, meskipun baru berusia 26 tahun tetapi pemilik nama sebenar Jeandmesh Antonio Kamaleng ini mampu menghasilkan karya-karya yang sangat hebat seperti Ku Mau Dia, Cinta Luar Biasa, Hanya Rindu dan banyak lagi.
Paling membanggakan kesemua karya ciptaan Andmesh diminati ramai bukan sahaja di Indonesia malah di Malaysia. Jadi, tidak mustahil lah konsert yang dianjurkan oleh Kharisma Music International ini mendapat sambutan yang sangat hangat daripada para peminat termasuk penyanyi nombor satu Malaysia iaitu Dato’ Seri Siti Nurhaliza yang turut hadir menyaksikan persembahan hebat Andmesh Kamaleng.
Untuk info, konsert yang seterusnya dari Kharisma Music International iaitu Judika bakal menemui para peminat di Malaysia pada 21 Oktober 2023.