Malang tidak berbau, seorang pelajar jurusan kejuruteraan kimpalan sebuah kolej swasta di Taiping, Perak meninggal dunia selepas 23 hari bertarung nyawa di hospital. Difahamkan remaja berusia 18 tahun itu terkena renjatan elektrik semasa mengemas sebuah kelas di bangunan kolej berkenaan.
23 hari bertarung nyawa di hospital
Sekadar gambar hiasan
Memetik laporan Sinar Harian, bapa, Norkamil Amran menerima laporan daripada kolej berkenaan kejadian yang menimpa anak kira-kira jam 11 pagi pada 23 Oktober lalu.
Ketika itu, bapa berada di Sungai Besar menjalankan kerja-kerja menukang rumah.
Pihak kolej memaklumkan kejadian berlaku semasa anak saya memanjat tangga dan tangannya terpegang besi kipas dinding yang mengandungi arus elektrik ketika sedang mengemas sebuah kelas di bangunan kolej berkenaan.
Menceritakan dengan lebih lanjut, anaknya, Muhammad Nadzaruddin terus dikejarkan ke Hospital Taiping selepas rebah tidak sedarkan diri akibat renjatan elektrik.
Laporan awal hospital mengesahkan keadaan jantung dan buah pinggang normal cuma arwah mengalami kerosakan pada bahagian otak.
Saya terkejut dan berasa sedih ketika menerima berita berkenaan, perasaan itu masih dirasai hingga ke saat ini.
Arwah bertarung nyawa selama 23 hari di Hospital Taiping dan kami berada di sisinya semasa dia menghembuskan nafas terakhir.
Walau bagaimanapun, mereka reda dengan ketentuan Allah SWT dan berdoa agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Anak menitiskan air mata
Foto: Harian Metro
Katanya lagi, sepanjang di hospital, anak tidak banyak menunjukkan reaksi sebaliknya hanya mampu menitiskan air mata ketika mereka sekeluarga memanggil namanya.
Ketika anak menghembuskan nafas terakhir, bapa sempat mengajarnya mengucap dan kelihatan bibir sedikit terbuka seakan mengikut bacaan sebelum pergi buat selamanya.
Menurutnya, anak ketiga daripada empat beradik itu ada menyimpan hasrat untuk membuka bengkel kimpalan selepas tamat belajar namun nampaknya tidak kesampaian.
Sumber: Sinar Harian