berita

Terpisah Sejak Lahir Akibat Covid-19, Anak Akhirnya Kembali Ke Pangkuan Ibu

August 7th, 2020 | by Arini Saleh
Kini Trending

Seorang ibu yang terpaksa berpisah dengan anak gara-gara Covid-19 akhirnya disatukan kembali. Wanita yang berasal dari Thailand itu dilaporkan pulang ke negara asal untuk memperbaharui visa.

Namun, akibat daripada penularan wabak pandemik, sempadan Malaysia-Thailand terpaksa ditutup menyebabkan dia tidak dapat kembali mengambil anak di Hospital Kajang.

Dukung anak buat pertama kali

Memetik laporan Bernama, Nurhalisa Jehawaee menitiskan air mata saat pertama kali memangku anaknya yang kini berusia lima bulan. Mereka disatukan kembali di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Songkhla.

Irfan, ini adalah ibu.

Saya sangat gembira. Akhirnya, dapat mendukung anak buat kali pertama selepas lima bulan. Saya dan keluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi membantu dan menderma kepada kami.

Ia membantu kami melangsaikan bil hospital dan membawa pulang Irfan ke pangkuan.

Nurhalisa yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kajang dan suami, Muhammad Tifyoleah, berjaya mengumpul wang berjumlah RM30,000 dengan bantuan dan derma orang ramai. Wang tersebut digunakan untuk membayar bil hospital termasuk kos bersalin.

Tidak dapat ambil anak

Menurut laporan lagi, anak Nurhalisa dilahirkan pada 27 Februari lalu ketika kandungan berusia tujuh bulan di Hospital Kajang. Dia terpaksa meninggalkan anak yang pada ketika itu berada di bawah pemerhatian doktor untuk memperbaharui visa bersama suami.

Akibat daripada itu, dia dan suami tidak dapat kembali ke Malaysia untuk mengambil anak susulan pintu sempadan ditutup.

Berita Harian sebelum ini melaporkan, si ibu mendakwa terputus hubungan dengan pihak hospital apabila nombor telefon hospital hilang. Dia hanya tahu mengenai perkembangan anak selepas dihubungi kedutaan.

Diiringi oleh dua orang jururawat dari Hospital Kajang, bayi tersebut dibawa ke Hospital Pattani untuk pemeriksaan dan akan dikuarantin wajib.

Sumber : BERNAMA

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×