Di New Delhi, India, seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui terjatuh dan terperangkap di dalam sebuah perigi selama lebih 24 jam.
Jatuh ketika bermain dengan rakan
Menerusi laporan Stuff, insiden tersebut berlaku di negeri Madhya Pradesh, lebih kurang pukul 5 petang (waktu tempatan), semalam. Mangsa yang bernama Tanmay Sahu terjatuh ke dalam perigi sempit itu ketika bermain dengan rakan-rakannya. Menurut pegawai penyelamat, kanak-kanak itu terperangkap pada kedalaman 16.7 meter (m) di dalam perigi sedalam 122 m.
Berikutan daripada itu, anggota penyelamat bertindak mengepam bekalan oksigen kepada budak lelaki itu, namun sukar untuk menilai keadaan mangsa disebabkan oleh lapisan lumpur yang tebal. Ujar pegawai majistret daerah, usaha menyelamatkan mangsa mungkin mengambil masa beberapa jam lagi.
Ia mengambil masa lebih lama berbanding jangkaan kerana terdapat batu-batu di dalam perigi.
Difahamkan, anggota penyelamat telah menggunakan sebuah mesin penggali terowong yang setakat ini sudah mencecah kedalaman lebih 7 meter.
Sumber: Stuff