Berlaku salah faham dengan warganet gara-gara perkongsian yang dibuat oleh pelakon Khaty Fauziah di Instagram bersama suaminya, Abdul Samad Jaaman serta anak-anak mereka termasuklah aktor Shahiezy Sam.
Hantaran yang memaparkan Khaty dan suami berada di Kuala Lumpur sedangkan mereka menetap di Melaka itu mengundang kecaman kerana dianggap melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) fasa 1.
Rentas negeri untuk rawatan susulan jantung
Enggan mengeruhkan situasi, Khaty menyatakan kehadiran dia ke Kuala Lumpur adalah untuk rawatan susulan selepas menjalani prosedur jantung pada tiga bulan lalu.
Menurutnya, dia hanya bermalam di rumah anaknya memandangkan perlu ke Institut Jantung Negara (IJN).
Saya sebenarnya tidak payah buktikan apa-apa di sini berkenaan dengan peristiwa semalam yang menjadikan sebahagian daripada anda semua bertelagah sehingga melemparkan berbagai sindiran.
Saya dan suami yang merentas negeri. Anak-anak semua tinggal di persekitaran daerah yang sama di Selangor. Sejak PKP kami juga macam anda, tak dapat berjumpa.
Kalau anda memang ikhlas mengikuti perkembangan saya dan family, tentu anda tahu saya baru menjalani prosedur jantung tiga bulan yang lalu. Tentulah saya perlu ke IJN untuk buat susulan.
Saya kena bermalam di rumah anak yang ada anak ramai. Untuk masuk ke rumahnya saya dan suami kena tunggu 15 minit baru dapat masuk setelah diswab dan sebagainya… ikut SOP.
Belajar berbahasa elok
Dedahnya lagi, dalam tempoh melakukan prosedur jantung yang serius, dia langsung tidak bertemu dengan anak menantu serta cucu kerana akur dengan tatacara operasi standard yang ditetapkan kerajaan.
Bagaimanapun, dengan rasa rendah diri, pemilik nama Fauziah Khatijah Musa memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang tergores hati dengan perkongsian tersebut.
Untuk pengetahuan anda semua, ketika saya buat prosedur jantung yang sangat serius masa tu anak-anak, menantu-menantu serta cucu-cucu tidak langsung dapat melawat saya sehinggalah saya balik ke Melaka sebab kami patuh pada SOP.
Anda dapat bayangkan tak kalaulah prosedur jantung saya gagal ketika itu? Saya dan keluarga saya langsung tidak dapat bersama atau berjumpa.
Belajarlah menjaga hati dan perasaan orang, belajar berbahasa elok supaya bangsa kita dihormati. Saya dan keluarga juga hanya manusia biasa, kalau silap dan salah harap dimaafkan sahaja.
Sumber: Instagram @khatyfauziah