Sebelum ini, pelakon, Zarina Anjoulie telah menghantar dua surat tuntutan permohonan maaf dan pampasan sebanyak RM4 juta secara berasingan terhadap pelakon Emelda Rosmila dan Amyza Aznan. Tuntutan tersebut dibuat kerana kedua-dua pelakon tersebut dipercayai telah menjatuhkan reputasinya melalui posting dan komen berbaur fitnah mengenai dirinya di Instagram dan Telegram.
Terbaru, menerusi laporan Astro Gempak, Emelda telah menolak saranan mahkamah untuk menyelesaikan krisis undang-undang melalui proses mediasi dengan Zarina.
Menjalani proses mediasi
Terdahulu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah mencadangkan agar kedua-dua pihak menjalani proses mediasi. Zarina telah mengusulkan bahawa proses tersebut diadakan pada bulan Januari, Februari dan Mac ini. Namun, Emelda didakwa menjawab melalui peguamnya bahawa dia enggan mengambil bahagian dalam proses mediasi ini.
Kami berharap semuanya berjalan lancar seperti yang dicadangkan mahkamah dan kedua-dua pihak dapat mencari jalan penyelesaian. Namun, kerana Emelda tidak mahu meneruskan mediasi, nampaknya kes ini akan melalui bicara penuh dan kami pasti akan memberikan yang terbaik untuk anak guam sewaktu perbicaraan di mahkamah nanti.
Ini adalah kali kedua Emelda memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi. Kali pertama ianya diajukan, Zarina tidak membantah, tetapi permohonan tersebut ditarik balik oleh defendan (Emelda) setelah permohonan dibuat bagi alasan yang hanya diketahui oleh beliau. Setelah itu, permohonan tersebut diajukan kembali, dan sekali lagi, kami tidak keberatan menurut kemahuan pihak Emelda tetapi kali ini kami memohon agar kos pindahan dibayar oleh defendan.
Menurut peguam Zarina iaitu Wan Azmir Wan Majid, beliau akan dibantu oleh Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zukifli dalam mengendalikan kes ini.
Mahkamah perintah Emelda bayar kos Zarina
Susulan daripada itu juga, mahkamah telah memerintahkan Emelda untuk membayar kos kepada Zarina bagi membolehkan kes sivil tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Dalam perkembangan lain, pengurus krisis Zarina iaitu Saiful Ridzuan mengesahkan bahawa Zarina terbuka untuk menyelesaikan krisis undang-undang tersebut melalui proses mediasi dan usahawan tersebut akan mengikut nasihat dari barisan peguam yang telah dilantik bagi tindakan selanjutnya.
Sumber: Astro Gempak