berita

Tiada Deria Penglihatan Bukan Penghalang Untuk Mendalami Ilmu Al-Quran

December 8th, 2018 | by Arini Saleh
Kini Trending

Kitab suci Al-Quran merupakan pegangan bagi setiap Muslim di muka bumi ini. Namun bukan semua orang mempunyai pancaindera yang sempurna. Bagi insan yang kurang upaya (OKU), kekurangan diri bukanlah penghalang untuk menjalankan tanggungjawab sebagai orang Islam.

Kini dengan bantuan teknologi yang semakin canggih, Al-Quran Braille dicipta khas buat individu yang cacat penglihatan bagi membantu mereka mempelajari kitab suci ini seperti insan normal. Walaupun diuji hilang deria melihat, mereka masih mempunyai deria sentuhan.

Enam tahun belajar Al-Quran Braille

Bagi Muhammad Fiqry Muhammad Fahmi, 23, kecacatan penglihatan tidak dianggap sebagai satu halangan untuk dia mempelajari dan mendalami Al-Quran.

Fiqry yang berasal dari Kampung Somodon Topokon, Tuaran sebelum ini pernah mewakili Sabah untuk Majlis Tilawah Dan Hafazan al-Quran di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh Melaka tahun lepas.

Fiqry yang telah mendalami teknik bacaan membaca Al-Quran Braille mengambil masa enam tahun untuk betul-betul menguasainya. Tuahnya, dia telah dinobat Johan Qari dalam Majlis Tilawah al-Quran Braille (MTQB) 2018.

Dia mempelajari teknik bacaan Al-Quran semasa menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Princess Elizabeth di Johor Bahru.

Pada awalnya saya mengalami kesukaran membaca Al-Quran Braille kerana perlu terlebih dulu menghafaz titik braille yang mewakili huruf.

Bagaimanapun kelas pengajian Al-Quran yang diikuti membolehkan saya menguasainya dengan lebih mudah.

Pada saya tiada beza jika individu itu normal atau OKU. Selagi dalam diri ada kesungguhan dan terus istiqamah untuk membaca Al-Quran, pasti ia lebih mudah untuk dikuasai.

Daya ingatan perlu kuat

Satu cabaran buat Fiqry yang kini bertugas sebagai bilal di Masjid Bandaraya Likas di Kota Kinabalu, dia perlu memiliki daya ingatan yang kuat untuk membaca Al-Quran kerana tiada deria penglihatan.

Apabila berjaya menguasai al-Quran, titik Braille hanya menjadi rujukan ketika membaca. Di sini memerlukan daya ingatan yang kuat untuk saya menghafaz al-Quran. Saya bersyukur kerana kekurangan dimiliki diganti dengan daya ingatan yang kuat.

Namun masih banyak yang perlu dikuasai dalam mendalami bacaan Al-Quran terutamanya daripada sudut tajwid dan makhraj untuk mendapatkan bacaan yang tepat.

Kongsi ilmu dengan golongan senasib

Fiqry tidak menyimpan kelebihan dan pengalamannya berseorangan, sebaliknya dia berkongsi serta menawarkan kelas pengajian Al-Quran di Tuaran, Sabah.

Saya akan terus mempelajari ilmu Al-Quran dan pada masa sama, menggunakan peluang yang ada untuk berdakwah dalam kalangan OKU serta mengajar rakan senasib untuk mendalami bacaan Al-Quran.

Semoga kecekalan Fiqry menjadi teladan buat insan di luar sana termasuklah golongan kurang upaya untuk sama-sama menarik minat mendalami ilmu Al-Quran.

Sumber: Berita Harian

The following two tabs change content below.

SKIP THIS AD ×