TikTok, destinasi terkemuka bagi video mudah alih berformat pendek, bakal mengadakan TikTok Awards yang julung kali diadakan di Malaysia pada 27 Ogos 2023, bertempat di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.
TikTok Awards Malaysia dianjurkan menerusi kerjasama dengan TV3, bersama HONOR 90 5G (Penaja Utama), foodpanda (Penaja Bersama), F&N Dairies (Rakan Penaja), dan U Mobile (Rakan Penaja).
Keterujaan dalam menjalinkan kerjasama
Majlis sidang media TikTok Awards Malaysia 2023 berlangsung semalam di The Godown Art Centre Kuala Lumpur bagi memperkenalkan barisan hos serta calon-calon untuk setiap kategori yang dipertandingkan.
Menurut Ketua Pemasaran dan Operasi TikTok Malaysia, Yin Yin Hooi berkata pihaknya memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan TV3 kerana ia merupakan rangkaian media terbesar di Malaysia dan paling berpengalaman mengendalikan anugerah-anugerah berprestij sebelum ini.
Ini kali pertama kami anjurkan anugerah dan kami memilih untuk bekerjasama dengan TV3 kerana TV3 mempunyai pengalaman yang luas mengadakan pelbagai anugerah sebelum ini.
TV3 hebat dari segi platform malah sumber dan sokongan yang mereka sediakan kepada TikTok sangat baik. Kami melihat TV3 sebagai rakan media dan rakan penyiaran yang kuat di negara ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof melihat kerjasama ini sebagai satu peluang kepada peminat untuk menghargai kreativiti pencipta kandungan kegemaran mereka.
TV3 teruja dapat bekerjasama dengan TikTok untuk menganjurkan TikTok Awards pertama di Malaysia. Anugerah global ini juga membuka peluang kepada peminat untuk menyokong pencipta kandungan kegemaran mereka dan meraikan yang terbaik dalam komuniti TikTok.
Sementara itu, selaku Pengurus Projek, Russell Mark Rodrigues berkata pada malam anugerah tersebut sudah semestinya TikTok dan TV3 bakal menjanjikan persembahan-persembahan ‘outstanding’ bersama hos-hos terkenal terutama daripada selebriti dan pencipta kandungan di atas satu pentas.
Bagi pihak TV3 kami sangat teruja kerana ini merupakan kali pertama dan ia merupakan sesuatu yang baharu untuk diterokai menerusi platform digital tetapi tetap akan ada cabarannya.
Untuk kelainan dari segi hos kami menggabungkan selebriti dan pencipta kandungan malah persembahan juga ada ‘mix and match’.
Undi pencipta kandungan sekarang!
Anugerah ini akan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Pilihan Juri (Judge’s Pick), Pilihan Popular (People’s Choice) dan Anugerah Busana Terbaik (Best Dressed Awards).
Para peminat boleh mengundi pencipta kegemaran mereka bermula 15 hingga 26 Ogos 2023 di laman sesawang berikut https://vt.tiktok.com/ZSL9kXUe5/
Acara Utama TikTok Awards akan dihoskan oleh Izzue Islam, Sherry Alhadad dan Amelia Henderson, manakala acara ‘Red Carpet’ akan dihoskan oleh Ceddy dan Sissy Imann. Detik belakang pentas pula akan dihoskan oleh Jaa Suzuran dan Neeta Manis.
Majlis akan dimeriahkan oleh para selebriti dan warga pencipta pujaan ramai termasuk Dato’ Yusof Haslam, Bell Ngasri, Amber Chia, Farah Ann Abdul Hadi dan ramai lagi yang akan menyampaikan anugerah di atas pentas.
Para penonton juga bakal disajikan dengan persembahan yang mengasyikkan daripada Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Zeppo, DOLLA, Marsha Milan, Ernie Zakri, Alyph dan ramai lagi.
Acara karpet merah akan disiarkan di TV9 pada jam 8.30 malam manakala TikTok Awards Malaysia bersiaran langsung di TV3 serta di platform TikTok jam 9.00 malam.