Tidak dapat dinafikan lagi TikTok Shop adalah salah satu platform perniagaan yang semakin mendapat tempat di hati pengguna sekarang.
Ramai peniaga dah mula berjinak-jinak dengan TikTok Shop bagi meluaskan lagi pasaran produk mereka termasuklah peniaga mikro di seluruh Malaysia.
Sebagai tanda sokongan buat perusahaan mikro yang baru bertapak di TikTok Shop, baru-baru ini 30 peniaga bertuah telah dipilih untuk menerima insentif khas hasil daripada TikTok Shop 11.11 LIVE Showdown sebagai tanda sokongan buat memulakan perniagaan dalam talian.
Kerjasama bersama Yayasan Wilayah Persekutuan
Usaha ini diperkukuh dengan jalinan kerjasama strategik bersama Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bagi menyokong dan menaik taraf kehidupan masyarakat berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
“TikTok Shop komited untuk memberi impak sosial dan ekonomi yang bermakna bagi menyokong perniagaan mikro dan kecil di Malaysia” kata Nur Azre Abdul Aziz, Ketua Perhubungan Strategik di TikTok Shop Malaysia ketika sesi dialog dan majlis penyerahan sumbangan pada 21 Disember lalu.
Tambahanya lagi, menerusi kerjasama dengan YWP mereka akan terus berusaha untuk menyumbang kepada ekonomi digital sihat dan terangkum yang memperkasa usahawan mikro di seluruh negara.
Sementara itu, YB Tuan Ts. Zahir Bin Hassan, Ahli Parlimen Wangsa Maju dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP berkata “Kerjasama kami dengan TikTok Shop adalah bukti perkongsian strategik di dalam memacu kemajuan sosio-ekonomi.
Beliau mengakui sangat gembira dapat sama menjalin komitmen ini bagi menyokong landskap ekonomi negara dan membantu perniagaan tempatan terus berkembang di alam e-dagang.
TikTok Shop turut mengumumkan kerjasama dengan Unifi, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) serta Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dengan menyediakan insentif serta pelan rangsangan yang telah dirangka khas buat usahawan mikro.
Sesi bimbingan secara langsung
Dalam majlis yang sama pihak TikTok Shop dan YPM juga menyediakan sesi bimbingan bagi memastikan para usahawan mahir mengendalikan kedai digital mereka.
Malah, mereka turut diberi kesempatan untuk mengikuti sesi tunjuk ajar bersama Muhammad Faiq Izaan Bin Alias atau lebih dikenali sebagai Choq (@budokkelate1), penjual dan pencipta kandungan TikTok Shop.
Pada sesi ini para usahawan didedahkan dengan realiti jualan di TikTok Live, termasuklah cara berkomunikasi dengan pelanggan, teknik jualan yang tepat serta perkara-perkara di belakang tabir yang tidak ramai tahu.
Choq (@budokkelate1) menerangkan kemudahan untuk berniaga di TikTok Shop, “Apa yang penting adalah cara penyampaian dan pastikan kita tahu akan kelebihan barang yang hendak dijual”
Katanya lagi, pemilihan kandungan TikTok juga memainkan peranan penting untuk meningkatkan lagi capaian organik. Jika dilakukan dengan betul pasti lebih ramai lagi usahawan dapat capai sasaran jualan mereka.
Choq (@budokkelate1) sendiri telah berjaya menjual lebih 8000 unit kipas industri dengan keseluruhan jumlah jualan sehingga RM1 juta.
“Saya berterima kasih atas sokongan tidak berbelah-bahagi dari TikTok Shop. Platform ini telah menjadi penyumbang perubahan besar, memberi saya persekitaran yang membantu perkembangan saya.
“Alat-alat dan peluang yang disediakan di platform ini bertindak sebagai pemangkin kemajuan.”