berita

Tips Ibu Hamil Kekal Sihat & Bertenaga Di Bulan Ramadan

April 20th, 2020 | by Amirul Asraf
Kesihatan & Hidup Aktif

Pejam celik pejam celik, seluruh umat Islam bakal menyambut bulan Ramadan tidak lama lagi. Buat pasangan suami isteri yang bakal jadi ibu dan bapa, sudah pasti korang akan teruja menyambut bulan yang penuh mulia ini. Menerusi Facebook Dr Muhammad Izzat, beliau berkongsi tips mudah untuk mengekalkan kesihatan semasa hamil dan berpuasa buat para wanita. Jom baca!

Mengekalkan kesihatan unggul

Di sini ingin saya berkongsi tips-tips mudah bagi ibu-ibu hamil mengekalkan kesihatan unggul semasa hamil dan berpuasa. Jika anda berpuasa, tentu sekali anda tidak boleh makan sekerap biasa, tetapi anda masih boleh makan lebih daripada dua kali di antara masa berbuka dan sahur. Hidangan makanan yang seimbang dan berkhasiat akan membantu mengekalkan berat badan dan mengelakkan masalah-masalah seperti sembelit, sakit kepala, ketakcernaan, lesu dan pedih ulu hati yang kesemuanya merupakan simptom-simptom biasa semasa hamil.

Apakah cara terbaik bagi wanita hamil berbuka puasa? Tiada pelan makanan khas yang perlu anda ikuti, tetapi anda boleh mencuba tip-tip berikut sebagai cara terbaik untuk berbuka. Mulakan dengan: tiga biji kurma dan jus (bagus untuk menormalkan semula tahap gula yang rendah dalam darah)

  • Susu atau yogurt rendah lemak.
  • Sup jernih.
  • Kemudian, makanlah hidangan seimbang yang mengandungi: sepinggan salad atau ulam-ulaman sebagai hidangan pembuka selera.
  • Protein daripada ayam, daging atau ikan, kacang pis atau kekacang.
  • Karbohidrat kompleks daripada nasi beras perang dan roti bijian penuh dan banyak sayur-sayuran.
  • Elakkan hidangan berlemak tinggi untuk mencegah pertambahan berat, pengambilan makanan kurang berkhasiat dan mengalami ketidakcernaan (indigestion).

Makanan sewaktu sahur

Apakah saya perlu makan sahur jika saya berpuasa semasa hamil? Bersahur sangat penting jika anda berpuasa. Ia akan mengekalkan tahap tenaga anda pada waktu siang. Jangan tinggalkan sahur kerana ia dapat membekalkan anda dengan nutrien-nutrien penting dan tenaga yang anda perlukan untuk kekal cergas pada waktu siang. Ia juga akan mengurangkan simptom-simptom kelaparan seperti sakit kepala dan mengantuk. Hidangan sahur yang sihat mungkin mengandungi: nasi beras perang dan roti bijian penuh dengan kari.

  • Bijirin berserat tinggi atau bran dengan susu skim rendah lemak dan, buah-buahan termasuk buah kurma dan pisang.
  • Elakkan meminum teh semasa sahur kerana ia boleh membuat anda mengalami dehidrasi.

Saya suka minum kopi dan/atau teh selepas berbuka. Bagaimana saya boleh menggantikannya?

  • Minumlah jus buah-buahan segar dan bukannya minuman bergas, kopi atau teh.
  • Minuman smoothie yang mengandungi susu, yogurt, ais dan buah adalah minuman yang menyegarkan dan membekalkan banyak keperluan buah-buahan harian anda. Sup sayur-sayuran pula membolehkan anda makan sayur-sayuran berbeza dan memberi vitamin, mineral dan serat tambahan dalam diet anda.

Lakukan aktiviti ringan

Apakah yang perlu saya masukkan dan elakkan dalam diet saya semasa berpuasa? Untuk mengekalkan kesihatan semasa berpuasa, amalkanlah tip-tip di atas semasa makan, dan Selepas berbuka, berehat seketika, kemudian bangun dan berjalan-jalan. Lakukanlah aktiviti-aktiviti ringan.

Elakkan makan pada lewat malam sebelum tidur, tetapi pastikan anda bangun dan makan sahur. Minum air yg cukup selepas berbuka dan sebelum bersahur untuk mengelakkan dehidrasi. Kepada ibu mengandung yang difikirkan sihat dan boleh berpuasa oleh doktor, selamat berpuasa. Yang tak boleh tu, atau dalam erti kata lain berpuasa boleh memudaratkan, jangan degil untuk berpuasa. Ahlan wasahlan ya Ramadan.

Sumber: Dr Muhammad Izzat

The following two tabs change content below.

Amirul Asraf

Content Champion at Rev Asia Berhad
I became a writer to come as close as possible to the heart of the world.