Sebagai usaha memperkukuh kedaulatan perairan maritim negara di sekitar Sabah dan Sarawak, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menerima 3 buah helikopter AW139 ketika majlis perasmian Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) yang dihadiri Menteri Kanan Pertahanan Negara, Dato’ Seri Hishammuddin.
Pada majlis tersebut dua daripada 3 buah keseluruhan helikopter AW139 telah pun diterima dan diserahkan terus kepada warga TLDM manakala sebuah lagi dijangka sampai pada bulan September nanti.
Pembelian helikopter AW139 ini dibuat berdasarkan keperluan pihak TLDM sendiri yang amat memerlukan Helikopter Operasi Maritim (HOM) bagi membolehkan rondaan dengan tujuan penguatkuasaan maritim dapat dilaksanakan sekerap mungkin bersama aset-aset sedia ada.
Meningkatkan kekuatan inventori TLDM di Armada Timur
Perolehan Helikopter AW139 merupakan aset berharga bagi meningkatkan kekuatan inventori TLDM di Armada Timur. Ia juga merupakan salah satu usaha untuk mengekalkan moral dan semangat para anggota ATM khususnya TLDM dalam melaksanakan tugasan operasi yang sentiasa mencabar di perairan maritim Sabah dan Sarawak yang berkeluasan sehingga 315, 263 km persegi.
Selain itu, Hishammuddin memberitahu insfratruktur teknikal tambahan di hangar untuk menampung keberadaan Helikopter AW139 bakal dibina dalam masa terdekat.
“Saya telah arahkan agar Ketua Setiausaha untuk melihat perkara ini dan percepatkan prosesnya agar infrastruktur tersebut dapat segera dibina sekaligus memastikan operasi di sini dapat dilaksanakan pada tahap yang paling optimum”
Tambahnya lagi, keperluan end users termasuk TLDM merupakan keutamaan kerajaan. Biarpun negara sedang berdepan pelbagai cabaran, namun itu tidak menjejaskan komitmen mereka terhadap soal keselamatan khususnya di Sabah ini.
Skuadron 503 kini sedia beroperasi
Dalam majlis yang sama Hishammuddin Ketua Setiausaha turut mengumumkan penubuhan sebuah skuadron baharu iaitu Skuadron 503 bagi meningkatkan lagi kecekapan pengoperasian HOM. Skuadron 503 berperanan melaksanakan beberapa tugasan utama seperti Pemantauan Zone Maritim Malaysia serta Maritime Domain Awareness, (MDA), Over the Horizon Targeting (OTHT), Operasi Pasukan Khas dan Latihan krew udara dan warga kapal.
Skuadron 503 ini juga akan melaksanakan tugas-tugas sekunder merangkumi tugas membantu Operasi Mencari dan Menyelamat, membantu misi Medical Evacuation (Medevac) dan Casualties Evacuation (Casevac) serta membantu misi Humanitarian Assistance and Disaster Relief (HADR).
Skuadron 503 dilengkapi kekuaatan seramai 25 Pegawai dan 92 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dengan penugasan khusus di empat bahagian termasuk Bahagian Keselamatan Penerbangan; Bahagian Operasi dan Latihan; Bahagian Pentadbiran dan Logistik serta Bahagian Kejuruteraan Udara.
Selain Skuadron 503, terdapat satu lagi skuadron di bawah perintah operasi SUKK iaitu Skuadron 601. Skuadron ini menempatkan Unmanned Aerial System iaitu 12 unit Unmanned Aerial Vehicle (UAV), 4 unit UAV Launcher dan 4 unit UAV Recovery.
Hishammuddin menegaskan, usaha memelihara kedaulatan dan keselamatan Sabah sentiasa dilipatgandakan serta dilaksanakan secara menyeluruh.
Tidak hanya terhad kepada TLDM, pelbagai lagi usaha sedang dan akan dilaksanakan termasuk melalui Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).