Sebelum ini, tular satu video di mana seorang wanita Islam warganegara Indonesia, dipercayai telah dimurtadkan oleh seorang lelaki warga tempatan beragama Hindu.
Video tersebut telah dikongsi di media sosial, dan meraih ratusan komen yang mengecam tindakan mereka berdua.
Wanita Islam dimurtadkan?
Foto: Tangkap layar video pengakuan
Susulan daripada video yang tersebar itu, pihak polis telah menyerbu rumah lelaki itu bagi membantu siasatan. Lapor Harian Metro, wanita tersebut mengaku telah meninggalkan agama Islam bagi berkahwin dengan suaminya. Bahkan, wanita itu turut mendakwa dia telah dimurtadkan daripada Islam sejak di negara asalnya lagi.
Demi Tuhan kita takkan buat apa lagi, kepada Menteri-Menteri, kepada seluruh rakyat Malaysia bagilah kesempatan (kepada) aku dan suami minta maaf. Kalau aku sama suami ada salah, maafkan. Tolong, maafkan suami saya. Kami punya anak kecil lagi…tolonglah. Bersujud di kaki kalian semua pun tak ada masalah.
Tidak berakhir di situ, wanita itu berulang kali memohon maaf berhubung video tersebut dan meminta supaya diberikan peluang atas kesalahan yang terjadi.
Anak saya masih kecil, masih memerlukan ayah. Mungkin kalau semua orang dah maafkan, kita janji kita takkan buat video tentang agama semua itu.
Pada masa yang sama, menerusi video yang dikongsi lelaki itu mendakwa dia telah memurtadkan seorang wanita Islam.
Masih dalam siasatan
Foto: Tangkap layar video pengakuan
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh, menggesa orang ramai supaya membiarkan pihak polis menyiasat berhubung video seorang lelaki India yang memurtadkan seorang wanita Islam.
Bahkan, pihaknya turut menerima laporan yang dibuat daripada orang awam berhubung kes itu. Walau bagaimanapun, semasa serbuan dibuat oleh pihak polis, lelaki tersebut tidak berada di rumahnya.
Kes tersebut sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 19.
Sumber: Harian Metro